Peluang Bina Karakter Dan Kemahiran Sosial Anak

AidilFitr

Pejam celik pejam celik kita sudah pun menghampiri hari-hari terakhir di bulan Ramadan. Di waktu ini jugalah kita harus mempertingkatkan ibadah dalam kita mengejar manfaat 10 malam terakhir dan malam Lailatul Qadar.

Namun jauh di sudut hati pastinya kita tidak sabar menantikan 1 Syawal dan beraya di kampung halaman bersama saudara-mara yang barangkali berjumpa hanyalah beberapa kali dalam setahun.

Tambahan pula tahun ini pertama kali kita boleh pulang ke kampung halaman bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri selepas dua tahun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, dalam kita sakan beraya jangan pula kita lupakan prosedur operasi standard (SOP) terkini dan sentiasa mengambil langkah berhati-hati walaupun diberikan kelonggaran. Namun yang paling penting sekali adalah jangan sesekali kita melupakan adab di hari raya.

Adab semasa berhari raya sebenarnya mengasah kemahiran sosial dan latihan membantu membina karakter yang baik buat anak. Di sini kami senaraikan antara perkara yang boleh dipertimbangkan:

 

1. Lihat Kepada Mata Ketika Salam Hormat

Membina Karakter Dan Sosial Anak


Memberikan eye contact semasa berjumpa adalah salah satu kemahiran penting dalam komunikasi.  Melalui eye contact atau hubungan mata akan membantu komunikasi sekaligus menunjukkan rasa hormat kita terhadap seseorang. Penghargaan akan lebih terlihat dan anak akan lebih mudah bekerjasama apabila ahli keluarga saling memberikan eye contact.

BACA: Menjadikan Perbualan Bersama Anak Lebih Bermakna

 

2. Memberi Perhatian, Melihat Mata Dan Muka Teman Apabila Berbual

Membina Karakter Dan Sosial Anak


Ibu bapa berperanan dalam setiap aspek pembentukan karakter anak. Setiap gerak geri kita sentiasa menjadi perhatian, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Jadi dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat pastinya dapat mempengaruhi perilaku anak.

Dalam konteks ini, apabila kita sedang berbicara dengan seseorang, kita hendaklah memberikan tumpuan penuh dengan melihat mata teman dalam memberikan respon yang baik. Jadi ibu bapa boleh tunjukkan adab ini sebagai sebahagian daripada kemahiran sosial anak.

 

3. Senyum Apabila Jumpa Atau Menziarahi Tetamu

Membina Karakter Dan Sosial Anak
Sudah menjadi normalisasi untuk kita sentiasa memberikan senyuman walau dengan sesiapapun kita bertemu. Dengan memberikan senyuman bukan sahaja menambah seri wajah, malah dapat menyebarkan positivity dalam kalangan masyarakat. Berbanding dengan muka yang ketat dan lokek memberikan senyuman, bukankah orang sekeliling pun takut untuk didekati. Apatah lagi jika anak-anak sudah menunjukkan sifat angkuh di usia muda, nescaya akan dijauhi oleh rakan sebaya. Jadi amalkan memberikan senyuman walaupun sedang memakai pelitup muka.

 

4. Menyimpan Gajet Apabila Berbual Dan Mengunjungi Rumah

Membina Karakter Dan Sosial Anak
Dunia kini sudah serba serbi canggih dengan teknologi moden. Jika dulu kita memerlukan televisyen sebesar kotak untuk menonton rancangan kegemaran, namun kini semuanya berada di hujung jari. Gajet dan anak muda memang sinonim dengan mereka seiring zaman.

Oleh itu kita sebagai ibu bapa harus mengambil langkah dengan tidak terlalu manjakan mereka dengan gajet semata untuk mengalihkan pandangan atau fokus mereka. Hal ini boleh mengundang kepada ketagihan yang mana bakal tertanam di dalam diri anak-anak pada umur yang masih kecil. Justeru, pastikan ibu bapa bertindak sebagai moderator dalam mengawal masa penggunaan gajet anak seharian, lebih-lebih lagi ketika mengunjungi rumah kenalan atau sahabat handai.

 

BACA: Ambil Tahu Dan Fahami Tahap Perkembangan Anak

 

5. Tidak Meminta Untuk Menonton TV

Membina Karakter Dan Sosial Anak
Sudah menjadi fitrah kanak-kanak yang sangat sukakan interaktif tidak kiralah sama ada di waktu santai mahupun sedang melakukan aktiviti. Namun kita juga hendaklah mengajar mereka untuk sentiasa memahami keadaan sekeliling. Sebagai contoh adalah dengan tidak meminta untuk menonton TV.

Kita memahami bahawa anak akan cepat bosan ketika mana kita menziarahi rumah ke rumah, tetapi jika kena dengan caranya pasti anak akan dapat memahami budaya ziarah-menziarahi itu sendiri. Tidak salah untuk menonton TV namun biarlah datangnya ihsan dari pihak tuan rumah.

 

6. Tidak Bertanyakan Dan Meminta Duit Raya

Membina Karakter Dan Sosial Anak
Sebenarnya situasi ini sering berlaku tetapi boleh diklasifikasikan sebagai kes terpencil. Kita faham bahawa mungkin kanak-kanak ini tidak diajar dari awal dan mereka hanya mahukan kegembiraan dalam bentuk amaun wang ringgit walaupun hakikatnya mereka belum mampu menguruskan hal ehwal kewangan. Jadi, ibu bapa berperanan dalam menasihati anak untuk tidak meminta duit raya, apatah lagi membuka sampul raya dihadapan tuan rumah.

 

7. Mengucapkan Terima Kasih Apabila Diberi Duit Raya

Membina Karakter Dan Sosial Anak
Mengucapkan terima kasih adalah budaya yang tidak memerlukan kos dan sangat mudah. Namun tidak semua mampu mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Dalam konteks raya ini, anak-anak memang cukup teruja apabila menerima duit raya. Di sinilah ibu bapa harus memastikan adab mereka terjaga dan sentiasa memerhatikan tingkah laku anak-anak.

Mudah kata, apabila kita menerima apa-apa bentuk bantuan ataupun pemberian, respon pertama adalah dengan mengucapkan terima kasih sambil berbalas senyuman. Bukan sahaja anak-anak yang menerima ini gembira, malah si pemberi juga berkongsi gembira.

 

8. Menyambut Tetamu Yang Hadir Atau Menziarahi

Membina Karakter Dan Sosial Anak
Ketika mana kita sibuk mempersiapkan juadah untuk tetamu yang hadir, ibu bapa boleh menyuruh anak-anak untuk menyambut dan melayani tetamu seketika. Di sinilah kemuncak kepada kemahiran sosial anak-anak akan terserlah. Menyambut tetamu memerlukan daya keberanian kerana anak-anak akan berjumpa dengan pelbagai karakter dan ragam seseorang. Jika dari kecil mereka sudah diajar untuk mahir dalam melayani tetamu, tidak hairanlah jika mereka boleh membesar dengan orang-orang yang berjaya suatu hari nanti, inshaAllah.

 

9. Tidak Memberikan Komentar Yang Memalukan Tentang Fizikal Seseorang

Setiap manusia dilahirkan dengan ciri-ciri unik, berbeza dan istimewa. Keistimewaan ini adalah subjektif bergantung pada bagaimana kita melihat dan mempercayainya. Budaya memberi komentar buruk tentang fizikal seseorang adalah sebuah budaya yang perlu dielakkan. Kebiasaan mendengar tindakan sebegini tanpa diperbetulkan boleh mengundang kepada normalisasi sebuah budaya yang toksik.

Ibu bapa boleh membantu memainkan peranan ini dengan memberitahu apa yang betul dan apa yang salah. Begitu juga sekiranya ada siaran di televisyen dan media sosial yang memberi pelbagai komen tentang fizikal seseorang, ia adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Bantu anak untuk memahami situasi sekiranya kita ditempat yang diperkatakan. Ia akan mengurangkan keyakinan diri dan sekiranya sering berlaku, boleh memberikan impak negatif yang lebih besar pada seseorang.

 

Membina Karakter Dan Kemahiran Sosial

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.