Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Melukis Pra Menulis

Anak-anak seawal usia 1 tahun telah boleh mula memegang pensel dan menghasilkan garisan-garisan atau dalam bahasa orang yang berusia, katanya contengan. Dinding-dinding menjadi kanvas lukisan bergaris sekiranya ibu bapa tidak sempat menyuakan kertas. Malah, semua anak sewajarnya diberi access mudah kepada kertas sebanyaknya.

Baik, kenapa garis-garis, contengan atau lukisan? Semua anak melihat dunia dari dimensi dirinya. Apa yang dilihatnya adalah dunia pada dirinya. Ia hanya memahami apa yang terkait dengan dirinya. Begitu juga tulisan. Tulisan hanyalah garisan-garisan pelbagai bentuk dan corak yang tiada makna kerana anak tidak faham fungsi huruf. Kerana itu, salah satu langkah dalam perkembangan bahasa adalah memberi kefahaman fungsi huruf-huruf dan perkataan kepada anak.

Apa yang difahami anak adalah lukisan yang terdiri daripada garisan-garisan yang mirip dunia sebenar sekelilingnya. Gambar anak tersenyum, matahari, kucing, gambar rumah, kereta, sekolah, bunga, rama-rama. Gambar ibu dan ayahnya. Pasti semuanya mengikut peringkat usia dan kebolehan masing-masing berimaginasi. Tiada satu lukisan yang akan sama dengan yang lainnya.

Begitu juga tulisan. Sekiranya kita mengkehendakkan anak-anak menulis, anak-anak suka menulis, setiap huruf dan kata itu mestilah dirasai sebagai sebahagian dari dunianya. Agar menulis menjadi satu manifestasi semulajadi sebagaimana lukisan tadi. Maka, bagi memastikan setiap huruf difahami fungsinya dan terkait dengan hidup kita adalah dengan membantunya membaca, melalui kaedah membaca yang baik seperti fonik.

Satu langkah lagi yang boleh dan sewajarnya dilakukan adalah dengan mengadakan penulisan dan pembacaan bermakna. Kaedah penulisan dan pembacaan bermakna ini akan menjadikan anak secara semulajadinya mahu menulis. Dan dia mahu menulis dunianya. Dengan dorongan dari ibu bapa, anak-anak akan konsisten dan melahirkan lebih banyak penulisan. Sepertinya ia melukis, ia mahu menulis sebanyaknya kerana ia tahu tulisan juga boleh menggambarkan dunianya.

Jadi, anak-anak perlu mendapat dorongan yang baik sejak awal untuk membiasakannya dengan aktiviti melukis yang akhirnya akan berkembang dengan aktiviti menulis.

Faktor yang akan membantu menulis secara semulajadi adalah apabila anak-anak faham fungsi huruf-huruf tersebut dan terkait dengan dirinya. Dan juga kebolehan anak untuk membaca, kaedah fonik akan menjadikan kemahiran membaca dan menulis seiring. Malah dengan faktor bonus dengan kaedah pembacaan bermakna, sifat semulajadi menulis akan lebih terserlah.