9 Cara Latih Sensori Anak Di Persekitaran Rumah

person-making-clay-figures-1449934-1024x683

Isu sensori dan kesedarannya saban hari semakin meningkat. Tapi mengapa dahulu kurang timbul isu ini? Selain dari peranan media massa dan kesedaran yang meningkat, ia juga disebabkan pendedahan anak-anak terhadap waktu bermain yang benar-benar menyeronokkan dan gaya hidup kita dahulu sudah mampu melatih kebanyakan keperluan sensori dan terus menyokong perkembangan tabii.

Namun cabaran kehidupan masa kini telah memendekkan masa bermain anak-anak dan gaya hidup kini juga telah mengurangkan latihan sensori secara natural. Hal ini kerana mereka sudah pun terlalu banyak didedahkan dengan gajet dan teknologi.

Jadi sebagai ibu bapa apakah langkah yang perlu diambil? Mari kita bantu perkembangan sensori anak-anak dengan aktiviti cadangan di rumah ini.

Kerap Bermain Pasir dan Tanah

Sediakan peralatan bermain tanah. Benarkan anak mengorek tanah dan mencari cacing. Kalau dah main tanah, mesti nak main air pula. Lagi seronok dapat cari cacing dan rama-rama. Atau lagi senang bawa anak-anak bermain di pantai.

Tugaskan Anak Membasuh Pinggan

Ini untuk memberi anak bermain dengan air. Bukan sahaja melatih sensori tapi juga mengajar mereka menjadi anak yang bertanggungjawab dengan membantu membasuh pinggan selepas makan. Selain membasuh pinggan, aktiviti melibatkan elemen air seperti mencuci tandas, membasuh kereta dan menyiram pokok tanaman juga boleh dipraktikkan. sehingga menjadi rutin harian bagi mereka.

Libatkan Anak Dalam Aktiviti Di Dapur

Anak perempuan saya, Humayra sejak 4 tahun paling suka membasuh beras dan menanak nasi. Humayra paling marah kalau saya masak tanpa menunggunya. Dia juga sudah tahu menyukat dan membasuh beras, dan juga sudah tahu beberapa jenis sayur.

Memperbanyakkan Aktiviti Melukis Dan Mewarna

Tak perlu tunggu masuk pertandingan, mahupun menunggu sehingga anak masuk tadika atau sekolah. Cukup hanya mengunakan bahan yang mudah didapati seperti pensil warna dan krayon. Lebih elok jika boleh sediakan stesen khas dan biarkan anak-anak melukis dan mewarna. Antara idea yang comel adalah seperti melukis objek sebenar, meniru lukisan dalam buku cerita, melukis kartun kegemaran dan sebagainya.

Menconteng / Doodling

Kalau melukis dan mewarna ibu ayah rasa untuk anak besar, untuk anak-anak 1 tahun, berikan kertas dan pensel untuknya menconteng. Lagi seronok kalau boleh beri krayon yang warnanya terang agar daya rangsangan terhadap warna lebih cepat ditangkap.

Bawa Anak Bermain Di Taman

Sudah menjadi fitrah kanak-kanak memang suka bermain. Jadikan gunakan tenaga aktif mereka untuk merangsang otot mereka. Pada waktu inilah kita boleh menilai bakat anak-anak terhadap minat mereka. Lebih seronok jika ibu bapa dapat bersama bermain dan melayan kerenah mereka.

Lumba Lari / Jogging Dengan Anak

Pernah lumba lari dengan anak? Jom buat hari ini. Anak-anak pasti suka! Dengan larian secara tenaga penuh dapat melatih keseimbangan badan, menguatkan jantung serta memperbaiki cara pernafasan dan seterusnya meningkatkan oksigen dalam badan.

Main Bola Dengan Anak

Rata-rata kanak-kanak amat suka bermain bola, tidak kiralah lelaki ataupun perempuan, permainan melibatkan bola boleh dimainkan dengan macam-macam sukan, seperti bola sepak, bola jaring, bola baling, bowling dan macam-macam lagi. Hanya perlukan ruang sahaja. Kalau boleh bermain di padang lagi seronok. Jika ruang terhad, cukup sekadar bermain baling bola sesama sendiri. Bermain bola boleh melatih anak berfikir pantas untuk buat keputusan tau!

Benarkan Anak Makan Sendiri

Ibu ayah benarkanlah anak menyuap makanan sendiri walaupun atuk dan nenek marah kerana menyangka anak tidak kenyang. Anak-anak pada usia 1 tahun telah ada keinginan untuk makan sendiri. Sebenarnya jika anak makan sendiri dapat merangsang derianya untuk merasai tekstur makanan tersebut. Sambil itu juga jangan lupa ajari adab, cara makan yang betul dan dan etika di meja makan okay?

 

Tulisan saya setakat ini dahulu ya. Banyak lagi yang boleh dilakukan, cuma saya mahu kongsikan yang simple dan senang dibuat di sekeliling rumah. Kerana saya mahu kongsikan bahawa merangsang sensori anak ini bukan sesuatu yang terlalu sukar, ibu ayah boleh melakukannya. Jangan tunggu terlalu lewat, elok mulakan dari awal. Bantu perkembangan anak-anak kita, mulakan dengan rutin di rumah dahulu.

Di atas ini adalah pengalaman saya bersama dengan 4 orang anak. Saya tengok bonda saya buat dengan 7 orang anaknya, bersama dengan 16 orang cucunya, dan beratus-ratus anak di Tadika dan Playhouse Naluri Kreatif setiap tahun. Beginilah kami buat secara natural.