Di saat rakyat mengeluh menghadapi harga barang naik, kita juga bergelut untuk menambahbaik mutu kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi kualiti hidup sering dikaitkan dengan kesejahteraan rakyat.
Selepas pandemik covid-19, kesihatan mental dilihat sebagai satu aspek yang sangat penting kerana kesihatan mental mempengaruhi produktiviti setiap individu.
Memahami situasi ini, berikut merupakan antara usaha yang boleh dipraktikkan bagi mencapai ke arah taraf kehidupan yang lebih berkualiti.
Makan Makanan Yang Sihat
Anda mesti inginkan pinggang yang slim dan ramping, bukan? Untuk menjaga kesihatan bukanlah bermula dari workout ataupun exercise, tetapi bermula dari cara pemakanan yang sihat kerana apa yang anda makan mempengaruhi kesihatan anda.
Oleh itu, anda dinasihatkan untuk memakan lebih banyak diet sihat seperti buah-buahan, sayuran, protein, karbohidrat rendah kalori dan juga lemak sihat. Yang pasti kurangkan pengambilan gula dalam masakan dan minuman serta pastikan anda banyakkan minum air mineral okay!
Mengamalkan Senaman Teratur
Senaman secara berkala amat dituntut bagi memastikan kesihatan anda sentiasa dalam keadaan baik dan terjaga. Kajian juga menyatakan sebarang aktiviti fizikal dan senaman memberi manfaat kepada kesihatan anda.
Hal ini kerana melalui senaman mampu mengeluarkan hormon endorfin yang menjurus kepada kestabilan mood kita. Tidak perlu bersenam secara extreme, cukup sekadar membuat aktiviti keluar peluh seperti lompat bintang, lompat tali, berjalan kaki, berbasikal, mahupun berenang.
Ayuh jadikan aktiviti senaman sebagai salah satu rutin harian anda!
Tidur Yang Mencukupi
Tidur yang cukup dan berkualiti bukan sahaja membantu kita berehat, malah memberikan kita lebih tenaga, membantu mengawal metabolisme dan juga boleh menurunkan berat badan! Menarik bukan?
Kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang tidak mendapat tidur yang cukup lebih berisiko mendapat penyakit. Hal ini kerana apabila kita sedang tidur, sistem imun kita mengeluarkan protein yang membantu melawan jangkitan dan keradangan.
Oleh itu, sila pastikan anda mendapat tidur yang berkualiti untuk memperbaiki taraf kehidupan anda.
Menambah Ilmu Pengetahuan
Di saat ekonomi yang tidak menentu ini sudah ramai yang mengambil pelbagai inisiatif untuk menjana pendapatan sampingan. Hal ini tidak bermakna mereka menghadapi krisis hidup, namun dengan adanya ilmu pengetahuan serta kepakaran dan kemahiran yang diperoleh ke saluran yang betul mampu menambahbaik kehidupan sesebuah individu.
Tidak pelik lah jika penguasaan ilmu pengetahuan membolehkan seseorang individu itu dapat mengangkat martabat diri dan keluarga, seterusnya meningkatkan kualiti hidup.
Mengamalkan Aktiviti Kerohanian
Apa kaitan meningkatkan kualiti hidup dengan aktiviti kerohanian? Ya, dengan didikan agama yang mapan melambangkan kebahagiaan sesebuah keluarga. Ini disebabkan sesebuah keluarga yang mempunyai prinsip dan hidup bertunjangkan ajaran agama dan moral dapat mencapai keharmonian hasil daripada didikan asas agama sejak kecil.
Lebih-lebih lagi apabila anak-anak dapat membezakan perkara baik dan buruk seterusnya membendung mereka dari terlibat dengan perkara negatif. Di sini ibu bapa memainkan tanggungjawab penting dalam membentuk perwatakan dan sahsiah diri anak untuk menjadi insan yang berguna.
Perbanyakkan Aktiviti Bersosial
Sokongan sosial amat membantu keseimbangan dalam kesihatan mental. Ini kerana rangkaian sokongan sosial yang kukuh mampu menjadikan seseorang lebih kuat dan bermotivasi khususnya apabila ditimpa krisis hidup ataupun tekanan, kerana mereka tahu pada siapa mereka perlu bersandar dan mengadu masalah.
Dari aspek psikologi, interaksi sosial amat penting bagi mengikat hubungan antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi apabila semua di hujung jari, dengan menggunakan media sosial sahaja kita boleh saling memberi dan meminta sokongan.
Oh ya, berinteraksi santai sambil belajar serta melakukan aktiviti bersama anak juga merupakan salah satu sokongan sosial yang baik. Anda boleh lihat idea aktiviti di sini.
Mencari Hobi Sihat
Kajian mendapati bahawa hobi yang sihat mampu mencegah kita dari kemurungan serta meningkatkan prestasi kesihatan fizikal. Melalui hobi juga sedikit sebanyak dapat mengelakkan diri daripada tekanan dan kekal produktif.
Untuk pengetahuan anda juga terdapat beberapa contoh hobi yang mampu membuatkan hidup anda lebih sihat, tidak kira dari aspek kesihatan mental mahupun fizikal. Antaranya ialah menari, memasak, berkebun, fotografi dan videografi, serta bersukan amnya.
Jelas sekali untuk mencapai taraf hidup berkualiti melibatkan tanggungjawab yang tinggi, namun ianya tidak boleh dicapai tanpa pertumbuhan ekonomi dan beberapa aspek lain.
Tambahan pula peningkatan kualiti hidup sering dikaitkan dengan kemajuan dan pemodenan yang dikecapi sesebuah negara.
Tanamkan dalam diri bahawa setiap individu mempunyai perspektif berbeza. Sesetengah orang mungkin mengutamakan kesihatan mental dan fizikal, ada yang mahukan persekitaran bebas pencemaran, dan mungkin ada yang hidup berteraskan wang ringgit.
Namun kekayaan juga tidaklah menjamin kebahagiaan sesebuah individu dek kerana kekurangan kasih sayang dan sokongan sosial dari keluarga mahupun insan tersayang. Jadi perbetulkan niat dan tujuan anda dan bersama-samalah kita menuju ke arah kehidupan yang lebih baik.