Anak Anda Kurang Bercakap? Jom Ikuti Panduan Ini

looking

Pada ibu bapa yang mempunyai anak pastinya menginginkan anak mereka lebih aktif dalam berkomunikasi. Tanyalah pada setiap ibu bapa, pastinya mereka mahukan anak mereka suka bercakap dengan mereka.

 

Namun ibu bapa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam merangsang anak-anak untuk berkomunikasi. Di bawah ini kami kongsikan tips praktikal yang boleh diusahakan oleh para ibu bapa.

 

1. Jadikan Komunikasi Sebagai Rutin

Untuk merangsang komunikasi anak-anak ibu bapa mestilah aktif bersembang dengan mereka sejak mereka lahir. Menjadikan komunikasi sebagai rutin adalah menjadi elemen penting dalam waktu seharian kita.

 

Hal ini kerana anak-anak perlukan foundation atau asas untuk bercakap jauh lebih awal dari waktu sepatutnya. Tips mudah, jika anda rajin bercakap dengan anak, nescaya anak pasti akan suka bercakap dan berceritakan tentang hari mereka.

 

2. Kurangkan Screen Time

Zaman teknologi serba moden ini telefon bimbit memang tidak lekang di tangan untuk melihat aktiviti dan trend di media sosial. Namun jika tidak dikawal boleh “membunuh” keharmonian di rumah dek kerana kurangnya komunikasi dua hala.

 

Interaksi sosial di rumah amat penting bagi memupuk nilai komunikasi sejak kecil. Dengan mewujudkan suasana ini anak bukan sahaja belajar bercakap malah dapat belajar sesuatu dari komunikasi itu sendiri.

 

3. Banyakkan Membuat Aktiviti Bersama Anak

Tidak kiralah anak masih baru menginjak umur satu tahun mahu pun sudah di peringkat sekolah, anak-anak amat sukakan penglibatan ibu bapa dalam beraktiviti bersama mereka. Secara fitrahnya anak-anak amat perlukan perhatian dan kasih sayang dari insan bernama ibu bapa.

 

Dengan memberikan galakkan berterusan, secara tidak langsung bukan sahaja berlakunya percambahan komunikasi, malah menggalakkan semangat ingin tahu mereka terhadap sesuatu aktiviti tersebut.

 

4. Melakukan Aktiviti Role Play

Aktiviti role play dilakukan bagi menyampaikan sesuatu mesej melalui lakonan. Selain mereka jalan cerita dan watak lakonan untuk anak, ibu bapa juga mengadaptasi dari buku cerita kanak-kanak.

 

Membuat lakonan di dunia nyata seperti bermain masak-masak, membuat aktiviti jual beli dengan anak, mahupun melakonkan watak superhero pun sudah cukup membuatkan anak-anak seronok dan pastinya meningkatkan daya percakapan mereka.

 

5. Libatkan Aktiviti Harian

Rutin harian di rumah juga boleh dijadikan antara aktiviti yang bermanfaat bersama anak-anak seperti tolong menghidang makanan, menyidai dan melipat baju, membuat aktiviti mengemas, berkebun, mencuci kereta dan sebagainya.

 

Jangan lupa melibatkan diri dalam kesemua aktiviti tersebut dan berkomunikasi secara aktif. Daripada berborak kosong, cuba perbanyakkan soalan agar fikiran mereka lebih berkembang dalam memberikan jawapan yang menuntut mereka untuk berfikir.

 

6. Mengamalkan Gaya Tutur Yang Baik


Elakkan dari sikap marah, herdik, menghina, mencaci dan mengeluh. Semua ini lebih mudah bila kita tenang dan sabar. Apabila kita mewujudkan komunikasi yang tenang dan seronok, anak akan berkomunikasi dan menceritakan sesuatu dengan emosi positif.

Ini juga menggalakkan mereka mahu berkongsi kegembiraan bersama orang yang mereka percaya. Namun perkara ini tidak datang begitu sahaja tanpa latihan latihan minda dan jiwa dari ilmu yang betul.

 

Sebagai penutup, usahlah bimbang jika anak tidak petah berkata-kata. Cuba hargai dan fahami sikap anak yang mungkin bersifat introvert dan kurang bercakap, ibarat “ada emas di mulut”. Namun lebih elok jika kita dapat menggalakkan komunikasi antara ibu bapa dan anak di rumah agar mereka tidak kekok untuk bersosial di luar rumah kelak.