Memartabat Jasa dan Pengorbanan Guru Tadika

Memartabat Jasa Dan Pengorbanan Guru Tadika

Cabaran menjadi guru tadika bukan sahaja terletak pada anak muridnya, malah ia sebenarnya melibatkan seluruh ekosistem yang berkaitan dengan tugas guru. Ini termasuk menguruskan tingkah laku dan kerenah anak, berkomunikasi dengan ibu bapa dan kerja-kerja pengurusan. 

Memahami tugas guru yang sememangnya sarat dengan tanggungjawab dalam melahirkan insan yang berjaya dan cemerlang bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak murid yang ramai dalam satu-satu masa dengan latar belakang keluarga yang masing-masing berbeza.

 

Skeptikal Masyarakat Terhadap Kerjaya Guru Tadika

Sumber: Tadika NALURI Kreatif

Kepentingan dan sumbangan guru tadika dan taska jarang dibincangkan oleh masyarakat. Namun bayangkan, menjadi guru kepada anak murid yang sudah boleh berfikir panjang pun sudah terasa ‘bebannya’, apatah lagi mengurus anak-anak berumur 6 tahun dan ke bawah.

Melihatkan perkara ini seharusnya guru tadika diangkat bersama seiring dengan barisan guru di peringkat umur anak yang lain. Hakikatnya proses menjadi guru tadika juga memerlukan tapisan tertentu terutama mempunyai latar belakang pendidikan diploma atau ijazah dalam bidang-bidang yang berkaitan pendidikan awal kanak-kanak seperti Pendidikan Awal Kanak-kanak, Psikologi & Kaunseling serta TESL.

Namun, ada juga graduan lain yang berlatarbelakangkan jurusan berbeza tetapi mempunyai minat dan kemahiran yang sangat tinggi dalam bidang ini. Apapun, kemahiran interpersonal guru, kemampuan mengurus konflik dan kesungguhan belajar dalam bidang ini amat mempengaruhi kejaayaan dalam kerjaya ini.

Justeru, kesedaran berkenaan peranan dan tanggungjawab insan bergelar guru tadika ini harus diperkuatkan lagi agar jasa dan pengorbanan mereka sentiasa diperingati dan seterusnya dapat menghapuskan skeptikal masyarakat terhadap guru tadika.

Ayuh ikuti serba sedikit kupasan kami tentang peranan guru-guru tadika yang mungkin anda tidak sedari.

 

Peranan Guru Dalam Dunia Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK)

Sumber: Tadika NALURI Kreatif

Guru tadika dan taska merupakan guru kedua setelah ibu ayah untuk tempoh 1 hingga 6 tahun. Justeru, tugas mereka bukanlah sesuatu yang mudah kerana guru tadika ini sudah pun menjadi tempat anak-anak memberi kepercayaan dan tempat bergantung harap. Bukan sahaja untuk anak-anak, malah untuk kedua ibu bapa dan penjaga.

Antara tugas hebat digalas oleh seorang guru tadika dan taska yang jarang diangkat adalah hadirnya mereka dalam hidup kanak-kanak dengan memberikan perhatian, berbual dengan anak, serta melayan kerenah tingkah laku mereka

 

  • Guru Sebagai Fasilitator

Di usia ini juga merupakan tahun paling penting dalam proses perkembangan anak. Tadika boleh diibaratkan sebagai jambatan yang menghubungkan anak dari dunia sendiri ke dunia sebenar. Dalam erti kata lain, anak-anak membesar dalam lingkungan keluarga sahaja, namun menginjak umur 1 tahun, taska dan tadika membantu mereka mendapatkan pelbagai kemahiran sosial, kemahiran sensori-motor dan banyak lagi.

Di tadika, guru berperanan menjadi fasilitator kepada anak-anak kecil ini. Bukan sahaja hanya untuk mempelajari bentuk, warna, huruf dan nombor. Malah di sinilah bermula pengembaraan mereka dalam meneroka dunia luar bersama anak-anak yang lain. Dalam pada yang sama, guru tadika ini berperanan memupuk semangat ingin tahu kanak-kanak.

 

  • Membina Kognitif Anak

Guru menyediakan suasana dan aktiviti yang menarik untuk anak belajar. Seperti yang diterapkan di NALURI Kreatif, kami menekankan pendekatan Project-Based Learning (PBL), dimana ia mengkhususkan pembelajaran bertemakan natural dan tidak menekankan kepada akademik semata-mata.

Melalui konsep PBL, anak berasa lebih seronok menjalankan aktiviti serta dapat pendedahan dan pengalaman sebenar dalam melakukan sesuatu. Malah, dengan kaedah ini anak belajar menyelesaikan masalah dan seterusnya menguatkan daya fikir mereka sejajar dengan keperluan pendidikan, 4C of 21st Century Learning” yang sering diperkatakan:

 

  1. Communication (Komunikasi)
  2. Critical thinking (Daya Fikir Kritikal)
  3. Collaboration (Kerjasama)
  4. Creativity (Kreativiti)

 

  • Kemahiran Fizikal Anak

    Sumber: Tadika NALURI Kreatif

Di saat kita berhadapan dengan norma baharu dek penularan Covid-19 menjadikan dunia pendidikan prasekolah menjadi lebih sukar dan mencabar. Namun, dengan sokongan yang menyeluruh, guru perlu memastikan program yang dijalankan yang sudah ketinggalan dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Guru yang hebat sentiasa peka bahawa aktiviti fizikal memainkan peranan yang amat penting kerana ia mempengaruhi perkembangan motor dan kognitif kanak-kanak. Tambahan pula, aktiviti fizikal juga adalah jalan yang menarik untuk memupuk kemahiran berkomunikasi dalam kalangan kanak-kanak. Seterusnya, ia boleh menjadi salah satu dari kaedah pembelajaran menarik contohnya seperti aktiviti membaca melalui treasure hunt dan sukaneka.

 

  • Pembentukan Emosi Dan Karakter Melalui Kemahiran Sosial

Dalam membentuk anak yang cemerlang, pelaksanaan rutin harian memainkan peranan penting dalam kehidupan anak. Antara perkara yang boleh dijadikan rutin adalah seperti menyusun kasut, membaca doa sebelum makan, beratur, membasuh tangan dengan betul, mengelap meja dan menyapu sampah selepas melakukan aktiviti dan makan, dan bermacam-macam lagi.

Apabila guru melaksanakan rutin yang boleh membina karakter kanak-kanak, ia menjadikan mereka lebih bertanggungjawab, berdisiplin, berkepimpinan, pandai menyesuaikan diri, serta mempunyai keyakinan yang tinggi. Melalui proses ini, ia membuatkan anak akan menjadi cemerlang dan gembira pada waktu yang sama.

Tugas ini bukanlah sebuah tugas yang mudah bagi seorang guru yang kurang berkemahiran dan kurang daya tahan dalam mengawal emosi diri sendiri. Ia memerlukan pengetahuan psikologi dalam mengurus tingkah laku kanak-kanak dan juga kesedaran tentang bagaimana kebiasaan yang boleh diwujudkan agar suasana positif mempengaruhi habit, karakter dan emosi kanak-kanak dalam jangka masa yang panjang

 

  • Pembinaan Spiritual Anak

Sumber: Tadika NALURI Kreatif

Tidak dinafikan mendidik anak-anak kecil ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Dengan pendedahan awal terhadap Islam sedikit sebanyak membina jati diri sebagai bakal pemimpin Muslim yang hebat. Justeru, dengan menanamkan nilai-nilai akhlak Islam yang baik dalam diri anak melalui projek dan rutin mampu membuatkan jiwa anak terkesan.

Memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak berkaitan dengan spiritual, adalah sesuatu yang memerlukan persediaan oleh guru. Ini adalah kerana pemikiran kanak-kanak masih dalam proses mengenali pelbagai perkara di sekeliling mereka. Oleh kerana itu, guru berperanan membuat aktiviti yang membina kesedaran dan adab, contohnya membentuk sikap bertanggungjawab, prihatin, berkongsi dan lain-lain.

Sebagai contoh, pendidik di NALURI Kreatif menekankan aspek nilai murni berteraskan Islam. Dalam mendidik sifat Allah yang Maha Penyayang (Ar-Rahman), kami banyak menjalankan aktiviti sedekah dan berkongsi. Selain itu, kami juga banyak menjayakan aktiviti bercirikan Islam yang lain. Untuk info lebih lanjut, boleh layari ke blog kami atau klik di sini.

Akhir kata, menjadi pendidik di tadika dan taska tidak terhenti setakat ini sahaja. Bagi menjayakan hasrat membantu kanak-kanak berada di tahap perkembangan yang bersesuaian, semua di atas perlu dilakukan secara bersistem dan konsisten sepanjang bersama dengan kanak-kanak. Konsistensi dalam pendidikan memberi impak yang besar kepada persepsi, emosi dan tingkah laku anak, sekaligus membantu perkembangan minda. Kesemua tindakan ini, apabila digabung jalin, menjadikan profesyen ini sangat unik dan perlu diangkat martabatnya. 

 

Konklusi

Guru tadika dan taska menjadi guru kedua selepas ibu bapa dalam hidup mereka. Terima kasih kepada semua pendidik yang memberi makna yang sangat besar kepada pembangunan generasi akan datang. Semua impak dari kebaikan yang dilakukan oleh para pendidik bergelar guru tadika dan taska ini tidak ternilai harganya. Mereka adalah insan terpilih dan guru kehidupan buat kanak-kanak. 

Di kesempatan ini kami ingin mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua barisan pendidik di Malaysia tidak kiralah dari guru taska dan tadika mahupun guru sekolah dan pensyarah.

 

 

 

Memartabat Jasa Dan Pengorbanan Guru Tadika


Di kesempatan itu, ikuti webinar kami yang bakal membincangkan tentang karier dan masa hadapan guru tadika. yang didatangkan khas dari Pengerusi Rangkaian NALURI Kreatif, Puan Nurul Hanan Arifin. Berikut adalah info yang berkaitan:

Webinar: Menjadi Guru Tadika: Ada Masa Depan Ke?
Merungkai Masa Hadapan Kerjaya Guru Tadika
Tarikh: 28 Mei 2022
Masa: 10:00 – 11:30 pagi
Platform: Youtube (Unlisted)

Jangan lepaskan peluang! PERCUMA & Terhad kepada 50 orang sahaja!

Berminat? Klik di sini untuk mendaftar.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.