7 Tips Untuk Anak Cerdik Melalui Perbualan

pexels-mart-production-7415096 (1)

Sudahkah anda berbual-bual bersama anak hari ini?

Agak-agak kenapa perlu berbual dan meneroka fikiran dan perasaan mereka ya? Berbual dengan anak ini sebenarnya therapeutic, menenangkan untuk anak dan juga untuk ibu bapa sendiri. Namun mestilah disertai dengan ilmu dan tahu bagaimana untuk melakukannya.

Ayuh ikuti 7 tips ekslusif dari Puan Noor Hayati Abdul Hamid, Pengasas Tadika NALURI Kreatif.

 

1. Dengar Perbualan Anak

Layan percakapan anak dan cuba faham apa yang anak ingin sampaikan oleh insan-insan comel ini. Maklumlah, cakap pun tidak jelas lagi terutama anak berumur sekitar 1 hingga 2 tahun.

 

2. Tanya Apa Mereka Suka

Selain anak dapat tahu nama sesuatu perkara, anak juga sedang belajar mengenali perasaan mereka apabila kita berbual, sambil bertanya apa mereka suka seperti makanan, haiwan, kartun kegemaran dan lain-lain.

 

3. Terangkan Benda Baru

Anak juga sedang belajar apa yang boleh dan tidak boleh buat seperti membuat sesuatu yang bahaya. Apabila kita terangkan kepada mereka, mereka belajar tentang had dan batasan sesuatu perkara.

 

4. Kongsi Dan Praktis Bersama

Di sini anak juga akan belajar nilai dan budaya apabila dikongsi dengan anak cara makan, adab makan, bersalaman, cara hormat orang tua dan lain-lain apabila di praktis bersama dalam suasana kehidupan seharian.

 

5. Panjangkan Perkaitan

Anak juga belajar fokus dan berfikir dengan teliti melalui perbualan kita yang sedemikian. Sebagai contoh, apabila berbual berkenaan buah pisang umpamanya, ibu bapa harus menerangkan fungsi buah tersebut. Bermula dari jenis pokok pisang, fungsi daunnya, makanan yang terhasil dari buah pisang seperti pengat, cekodok, kek pisang, kerepek pisang dan sebagainya. Boleh buat senarai panjang lagi tentang pisang ini mengikut olahan anda sendiri.

 

6. Ajak Buat Aktiviti Bersama

Apabila kita mengambil wudhu, mendirikan solat dan membaca al-Quran, jangan lupa mengajak anak melakukan bersama. Kerajinan anak dalam membuat amalan ini perlu diberikan peluang untuk anak lakukan walau dengan gayanya sendiri kerana langkah pertama anak belajar adalah dengan meniru gaya orang tuanya. Lagi banyak perkara baik yang kita buat ditiru anak, lagi bagus. Kerana bukankah bagaimana acuan begitulah kuihnya?

 

7. Berkomunikasi Walaupun Sedang Melakukan Hal Lain

Pastikan komunikasi dengan anak berterusan apabila anda sedang melakukan sesuatu seperti memasak, mengemas, menghidang makanan dan sebagainya agar anak terbiasa melihat dan melibatkan diri dan secara spontan belajar benda baru.

 

Ikuti juga artikel-artikel berkaitan: 

1. Tips Galakkan Anak Bercakap
2. Aktifkan Aktiviti Berbual Bersama Bayi Dan Kanak-Kanak
3. Bagaimana Menjadikan Perbualan Bersama Anak Lebih Bermakna