Walaupun kita sudah menginjak ke tahun baru 2022, kesan daripada pandemik Covid-19 masih lagi menghantui masyarakat sedunia. Kita perlu akur bahawa kita perlu bersedia untuk terus “hidup bersama” dengan wabak ini dan jangan sesekali mengabaikan SOP yang telah dikeluarkan.
Kesan yang saya maksudkan bukanlah dari aspek orang dewasa sahaja malah kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin negara kita juga telah pun menerima impak yang sama dari pandemik ini.
Manakan tidak, seawal usia mereka yang masih kecil tidak dapat ke sekolah seperti biasa dan “terkurung” di rumah disebabkan pelaksanaan PKP yang diarahkan kerajaan.
Pelajaran mereka juga sudah terganggu dek kerana pembelajaran secara online tidak sama seperti sesi persekolahan biasa, yang mana kekurangan pendedahan komunikasi dan interaksi sosial bersama rakan-rakan dan guru menjadi asbab utama kanak-kanak ini agak terkebelakang.
Di sinilah ibu bapa harus memainkan peranan dengan membawa mereka keluar berjalan dan berjumpa dengan orang luar agar anak menjadi lebih berani dan perasaan ingin tahu menjadi lebih membuak-buak berbanding hanya duduk di rumah dan bermain gajet sepanjang masa.
Justeru, saya cadangkan beberapa tempat menarik yang anda boleh lawati di Shah Alam, yang sesuai dibawa bersama anak-anak. Namun tulisan ini khas untuk proses perkembangan anak melalui kemahiran motor (motor skills) dan deria sensori halus. Hal ini disebabkan pentingnya aktiviti outdoor bersama anak ekoran kekurangan aktiviti fizikal di sekolah dan aktiviti riadah yang terbantut.
1. Taman Botani Negara Shah Alam
Tahukah anda, Taman Botani Shah Alam atau lebih dikenali sebagai Taman Botani Negara berkeluasan seluas 817 hektar menjadikan ianya pusat agro-pelancongan dan agro-perhutanan terbesar di dunia! Dengan koleksi spesies flora yang pelbagai merangkumi tumbuhan dan pokok sebanyak 422 spesies kesemuanya, Taman Botani Negara secara langsung berperanan sebagai “paru-paru” atau green lung kepada Lembah Klang.
Menampilkan pelbagai jenis taman dengan tarikan untuk peminat alam semula jadi, Taman Botani Negara ialah salah satu destinasi utama Selangor dan Malaysia untuk eko/agropelancongan. Di sini anda bukan sahaja disajikan dengan aktiviti agraria tradisional Malaysia, malah dijadikan tempat “pengajian” dalam bidang pertanian, hortikultur, botani, zoologi, produksi haiwan, perikanan, tanaman buah-buahan dan banyak lagi!
Namun, pengalaman yang paling mengujakan adalah anda berpeluang merasai suasana empat musim seperti berada di negara beriklim empat musim, iaitu musim panas, musim sejuk, musim bunga dan musim luruh. Pasti anak-anak seronok!
2. Taman Tasik Shah Alam
Berkeluasan lebih 43 hektar, Taman Tasik Shah Alam merupakan taman awam pertama yang dibuka di Selangor pada tahun 1985. Dilengkapi dengan gazebo, persiaran tepi tasik, laluan pejalan kaki bertingkat yang memanjang di atas air, laluan refleksologi, trek berjoging dan berbasikal, serta taman permainan kanak-kanak.
Walaupun lebih kecil daripada Taman Botani Negara, Taman Tasik Shah Alam mempunyai banyak aktiviti yang boleh dibuat. Tasik buatan ini mempunyai 3 kawasan, iaitu tasik tengah, timur dan barat. Masing-masing mempunyai ciri-ciri uniknya sendiri.
Pengunjung boleh menyewa bot kayuh dan kayak pada harga ±RM10/jam untuk menerokai tasik yang bersambung. Selain itu, pertandingan memancing juga kerap diadakan, begitu juga dengan acara melepaskan ikan!
Justeru, jangan lepaskan peluang membawa anak anda untuk merasai sendiri pengalaman unik melihat dan bermain aktiviti-aktiviti yang terdapat di sini.
3. Taman Lembah Bukit SUK Shah Alam
Saya pasti ramai yang tidak tahu tempat ini, especially orang yang bukan dari Shah Alam. Taman Lembah Bukit SUK Shah Alam ini antara salah satu taman tasik yang sangat nyaman dan tenang, ditambah pula dengan konsep landskap yang cantik dan mendamaikan mata memandang.
Pintu masuk di sini agak tersorok barangkali, membuatkan taman ini tidak popular. Tapi jika anda mahukan ketenangan bersama anak-anak, di sinilah tempat paling perfect untuk anda sekeluarga. Berkeluasan sekitar 29 hektar, taman ini terletak di Seksyen 5 Shah Alam, bersebelahan dengan Kompleks Mahkamah Shah Alam.
Namun secara peribadi, saya sangat suka berkelah dan jogging di sini kerana udaranya yang segar dek pokok dan tumbuhan yang mengelilingi taman ini. Berbanding dengan Taman Tasik Shah Alam yang lebih terbuka dan dipenuhi pengunjung, di sini agak sunyi dengan suasananya yang tenang membolehkan anda merehatkan minda sebentar.
4. Dataran Kemerdekaan Shah Alam
Terletak bersebelahan dengan Tasik Barat Taman Tasik Shah Alam, dataran ini sangat sesuai buat seisi keluarga bersantai dan berkelah sambil membuat aktiviti bersama anak. Datarannya yang luas membolehkan anda bermain bola bersama anak, frisbee, layang-layang dan macam-macam lagi.
Berbeza dengan taman tasik di atas yang kekurangan kawasan lapang, di sini lain pula ceritanya. Memandangkan kawasannya yang terbuka, setiap tahun pasti akan ada majlis keramaian atau majlis besar diadakan.
Selain itu, dataran ini juga menjadi port famous jurukamera untuk photoshoot. Tidak peliklah jika anda perhatikan ramai jurukamera atau photographer datang ke sini untuk mengasah bakat dan skil mereka. Haa alang-alang tu bolehlah anda bersama pasangan dan anak-anak menangkap gambar ala-ala photoshoot di sini hihi!
5. Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC)
Sukan kuda merupakan salah satu sukan elit namun dengan adanya kelab seperti Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC) ini membolehkan kita lebih dekat dengan kuda selain di zoo. DARC yang terletak 15 minit dari Shah Alam bukan sahaja menjadi tempat untuk menunggang kuda malah boleh dijadikan tempat meeting, gathering ataupun family day.
Memandangkan kuda bukanlah haiwan yang kita boleh lihat selalu seperti haiwan ternakan lain, maka cubalah bawa anak anda ke sini untuk memberi pengalaman baru kepada mereka. DARC menawarkan ibu bapa dan kanak-kanak peluang untuk menemui dan menikmati aktiviti menunggang kuda.
Pendedahan awal kanak-kanak terhadap haiwan ini akan membina semangat berani dan ingin tahu yang mendalam. Manakan tidak, kuda yang bersaiz besar ini pun segelintir dewasa berasa takut apatah lagi si anak kecil. Oops…
Namun sebenarnya kuda merupakan seekor haiwan yang sangat mesra, comel dan amat menghormati tuannya. Pengalaman menyentuh, menunggang dan melihat secara dekat pastinya sesuatu pengalaman yang tidak akan dilupakan buat anak-anak.
Kesimpulan
Menjadi ibu bapa yang prihatin dan bertanggungjawab memerlukan sedikit usaha keras dari kedua-dua pihak baik dari sang suami mahupun sang isteri. Tidak perlu usaha yang tinggi, cukup sekadar membawa anak-anak keluar berjalan sekitar taman perumahan sudah memadai.
Oh ya kalau hari bekerja pula, amat bagus sekiranya anda mempertimbangkan untuk mencari pusat pendidikan yang banyak melibatkan integrasi dengan outdoor.
Cuba lihat sendiri, apabila anak anda bermain di ruang padang, mereka berasa seronok, bukan? Bayangkan kalau pembelajaran mereka juga banyak dikaitkan dengan aktiviti diluar, ia membantu membina suasana yang mengujakan.
Sebagai penutup, jadikan rekreasi sebagai rutin sekeluarga, manfaatkan masa bersama anak di hujung minggu. Bukan sekadar membina deria sensori anak, pada masa yang sama kita sedang membuat aktiviti fizikal yang sihat tanpa sedar.
P/S: Tadika NALURI Kreatif memang giat mengaplikasikan aktiviti-aktiviti seperti di atas. Sekiranya anda berminat dengan pendekatan kami, kami amat mengalu-alukan kehadiran anda ke laman web kami di sini untuk info lebih lanjut.