12 Projek Bersama Anak Sempena Ramadan

Projek Ramadan

Alhamdulillah, kita telah pun menjejaki bulan Ramadan, bulan yang dinanti-nantikan kehadirannya. Namun bagaimana kita dapat membantu anak kecil supaya turut menghidupkan bulan Ramadan ini? Jom ikuti 12 Projek Ramadan yang anda boleh cuba.

1. Ramadan Stories

Projek Ramadan


Bila sebut saja bedtime story mesti anak-anak ternantikan cerita kita sebelum mereka tidur. Tapi kali ini kita bercerita bertemakan Ramadan. Guna bahasa yang mudah dan dapat difahami anak-anak. Di sini kita boleh bercerita kepada mereka tentang peristiwa Ramadan, kisah-kisah nabi dan apa-apa yang berkaitan dengan Islam.

Bukan itu saja, gaya bercerita dan suasana juga boleh dipelbagaikan. Sebagai alternatif lain, boleh gunakan bantuan buku cerita, VCD dan media lain seperti YouTube bagi merangsang minat anak. Tidak lupa juga wujudkan komunikasi aktif kerana penglibatan ibu ayah dalam hal ini amat bermakna buat mereka.

2. Dekorasi Rumah

Projek Ramadan


Apabila memasuki Ramadan, pasti terasa akan suasananya. Jadi jangan lepaskan peluang untuk menghidupkan suasana tersebut. Buat persediaan sepertimana kita tidak sabar menanti kehadiran bulan yang suci ini. Seperti mengemas rumah, membuat hiasan dekorasi dan membuat kraftangan bersama anak.

Sambil membuat aktiviti tersebut, sertakan dengan bercerita dengan anak aktiviti-aktiviti yang boleh dibuat di bulan Ramadan. Atau anda boleh klik di sini untuk rujukan 7 Projek Kreatif Semasa Mendidik Anak Mengenai Islam.

3. Projek Sedekah

projek ramadan


Projek sedekah boleh dijadikan sebagai salah satu rutin yang patut dijalankan sepanjang tahun. Namun untuk permulaan, anda boleh bincangkan bagaimana kita boleh membantu orang yang tidak berkemampuan. Sedekah di sini tidak semestinya berbentuk wang mahupun makanan. Boleh juga disumbangkan melalui kudrat dan tenaga dengan niat meringankan beban mereka. Itupun sudah cukup menggembirakan mereka.

Hangatkan projek sedekah dengan menghias kotak atau balang sedekah. Sementara itu boleh juga jalankan projek mengumpul pakaian, buku-buku latihan dan makanan seperti food bank. Aktiviti ini bukan sekadar dalam keluarga sahaja, malah dalam keluarga besar atau pihak sekolah. Sambil beraktiviti ini kita boleh lanjutkan diskusi mengenai kesyukuran dan bagaimana mahu menunjukkan kesyukuran kita kepada Allah.

4. Projek Maskot Ramadan

Projek Ramadan


Wujudkan superhero dalam diri anak sebagai superhero yang sangat diperlukan di dunia ini. Semarakkan perbincangan tentang bagaimana kriteria superhero dalam konteks Islam. Gunakan kotak-kotak dan bahan terpakai untuk projek tersebut. Di sinilah penglibatan ibu bapa terserlah, daripada mengukur dan memotong bahan terpakai sehinggalah mewarna dan menghias kostum yang bakal dipakai oleh anak.

Sokongan dan dorongan dari ibu bapa inilah yang akan membuakkan perasaan mereka dan menjadikan momen ini antara yang akan diingati buat mereka kelak. Dan selepas itu diteruskan dengan lakonan atau role play bagi menjiwai watak superhero yang dimainkan.

5. Kraf Tin Kompang Dan Kejut Sahur

Projek Ramadan


Anak-anak dan perangainya yang suka membuat bising memang sukar untuk dipisahkan, namun itulah fitrah si anak kecil yang suka bermain. Hal ini kerana anak-anak suka kepada bunyi-bunyian. Jadi gunakan peluang ini dengan membuat aktiviti bertemakan ‘kejut sahur’. Caranya mudah sahaja, dengan menggunakan pelbagai tin besar dan kecil untuk membuat kompang sendiri.

Jangan lupa variasikan bunyi dengan pelbagai bahan. Selepas itu, di sinilah kita mengambil kesempatan dengan mendendangkan lagu-lagu Islamik atau nasyid sebagai satu alternatif pendedahan awal kepada anak-anak tentang Islam. Atau mungkin anda sendiri mengejut mereka dengan dendangan nasyid untuk mengejut mereka bangun sahur, masyaAllah.

6. Projek Tasbih

Projek Ramadan


Anak-anak suka dengan kepelbagaian bahan dalam pendidikan. Dengan menggunakan bahan terpakai yang ada juga sudah memadai. Namun kraf paling mudah dan tahan lama yang boleh dibuat adalah tasbih manik.

Hanya berbekalkan benang atau tali getah tangsi dan manik, projek tasbih sudah bersedia untuk dijalankan. Sementara pemasangan manik dilakukan, manfaatkan ilmu agama kepada anak dengan mengajar mereka bertasbih serta maksudnya. Di saat tasbih mereka sudah siap, mereka sudah boleh lengkap bertahmid.

7. Jam Ramadan

Projek Ramadan


Di bulan Ramadan ini, anak-anak mudah terleka apabila mereka berasa lapar khususnya pada mereka yang berpuasa. Justeru, ibu bapa hendaklah mengambil peluang ini untuk merangka jadual masa untuk anak-anak bagi mengelakkan mereka berfikir tentang lapar dan dahaga semata. Saya cadangkan ibu bapa membuat jadual Ramadan, yang terisi dengan jadual solat, mengaji, bermain, mandi dan membersihkan diri.

Boleh juga libatkan anak-anak dalam menolong ibu bapa di meja makan untuk penyediaan makanan sementara menunggu waktu berbuka. Hal ini membuatkan anak berasa “leka” dengan kesibukan yang mereka hadapi membuatkan jam di dinding sentiasa bergerak tanpa perlu memikirkan perut yang lapar. Di sini anak akan belajar cara melihat jam dan cara mengadaptasi masa khususnya di bulan Ramadan.

8. I Love Al-Quran

Projek Ramadan


Bulan Ramadan adalah peluang untuk kita tanamkan kecintaan anak terhadap Al-Quran. Justeru rancanglah aktiviti yang bersesuaian mengikut kemampuan dan target masing-masing. Jadikan ia sesuatu yang menyeronokkan, bukan membebankan. Perbanyakkan diskusi tentang surah-surah lazim Al-Quran mengikut kesesuaian perkembangan anak. Tidak lupa juga untuk turut sertakan aktiviti berunsurkan seni dan kraf bagi membantu penghayatan dan kefahaman anak. Sebagai contoh anda boleh menyediakan penanda buku comel ataupun rehal berwarna-warni.

9. Menu Iftar Saya

Projek Ramadan


Bincang dengan anak apa yang hendak dimakan untuk iftar nanti. Dari hidangan utama sehingga ke hidangan sampingan dan minuman. Siap sediakan menu dan tuliskan resepi dengan cantik bersama anak. Adalah lebih menarik jika anda dapat libatkan anak dari awal sehingga ke hujung proses.

Hasilnya kita akan lihat anak lebih bersungguh-sungguh menikmati juadah tersebut dan menghabiskannya. Aktiviti ini sesuai dilakukan ketika anda mempunyai masa yang lebih untuk keluarga contohnya seperti di hujung minggu di bulan Ramadan.

10. My Ramadan Reward Chart

Projek Ramadan


Ambil peluang bulan Ramadan ini sebagai latihan pembentukan tingkah laku yang baik. Bincangkan target tingkah laku yang ingin ditinggalkan dan juga yang ingin diperhebat. Disarankan ibu bapa membuat Reward Chart yang menarik serta ditampal di dinding bilik anak agar mereka dapat melihat sebagai motivasi harian. Di sini ibu bapa akan meletakkan sticker atau cop menarik apabila anak berjaya membuat kebaikan atau menjaga tingkah laku.

Contoh target yang baik adalah berjaya berpuasa penuh, menghafal surah Al-Quran, solat berjemaah di masjid, membantu mengemas rumah, bersedekah dan macam-macam lagi. Hal ini secara automatik dapat membantu pembentukan tingkah laku positif anak. Malah perkara ini boleh dijadikan sebagai rutin harian bagi memupuk nilai-nilai murni dan rohani anak secara natural.

Sehinggakan suatu hari nanti mereka sudah tidak mengharapkan apa-apa balasan dan mengamalkan gaya kehidupan yang matang dan rasional.

11. Diari Ramadan Saya

Projek Ramadan


Sepanjang bulan Ramadan ini, saya pasti terlalu banyak perkara yang ingin diceritakan oleh anak. Justeru perbanyakkan komunikasi antara ibu bapa dan anak bagi mengikat tali ikatan yang terbina. Dengan kesempatan itu, galakkan anak berkongsi pengalaman dan refleksi melalui gambar dan penulisan.

Dengan dekorasi yang kemas dan cantik, di sini anak dilatih untuk menyimpan memori ke dalam bentuk penulisan dan warna. Yang penting ianya adalah satu catatan bermakna, bukan paksaan buat anak memahami dan menjiwai sepanjang Ramadan. Anda juga boleh ikuti tulisan saya sebelum ini mengenai Ramadan Dan Kanak-Kanak di sini.

12. Perhebat Hubungan Ibu Bapa – Anak

Projek Ramadan


Ambil peluang ini untuk mengeratkan silaturrahim. Perhebatkan bagaimana kita berkomunikasi, memberi perhatian, memberi galakkan, mengawal amarah dan menjadi sebaik-baik teladan buat anak-anak. Tidak dinafikan betapa pentingnya kita review semula ilmu-ilmu parenting yang kita ada dan tambah dengan ilmu yang baru. Dengan mengamalkan ilmu sedia ada, banyak solusi kita akan temui dan menerima manfaatnya, inshaAllah.