Teroka Ilmu Menerusi Alam

Artikel ini adalah dari Harian Metro

Alhamdulillah pihak kami telah mendapat liputan dari harian metro dan berikut adalah perkongsiaan setelah di interview oleh wartawan harian metro.

TNH04.transformedApabila sesi pembelajaran di dalam kelas bertukar di luar kelas, sekumpulan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun ini menjerit kesukaan. Jelas kegembiraan pada wajah mereka tatkala diminta menanam pokok bendi kemudian menyiram beberapa jenis sayur-sayuran yang ditanam di sekeliling sekolah.

Tanpa rasa takut, geli atau kotor mereka menggumpal tanah lalu memasukkan ke dalam pasu, bermain dengan pasir kemudian mengambil bekas air lalu menyiram satu persatu pokok yang sudah ditanam.

Mereka bukan sekadar ‘bermain’ tanpa mendapat manfaat sebaliknya sesi pembelajaran secara tidak formal ini dibekalkan ilmu oleh guru bertugas mengenai alam semula jadi terutama jenis tumbuh-tumbuhan dan bagaimana tumbuhan hidup. Sedikit sebanyak apa yang dipelajari ini akan diterapkan dalam kehidupan mereka terutama apabila ibu bapa membawa anak-anak kecil ini ke pasar, kebun atau berada di rumah.

Menurut Pengasas dan Pengetua Tadika Naluri, Noor Hayati Abdul Hamid, di tadikanya, anak-anak didedahkTNH03.transformedan kepada konsep penerokaan ilmu menerusi pendedahan secara semula jadi dan seterusnya digunakan sebagai asas dalam pembelajaran.

Misalnya menggunakan isu semasa dalam kehidupan seharian seringkali menjadi topik perbincangan dalam kelas. Keadaan ini membuatkan mereka berasakan apa yang dipelajari dekat dengan mereka sekali gus mewujudkan keseronokan.

Noor Hayati yang berpengalaman dalam pendidikan awal kanak-kanak dan juga perunding untuk NLI Education Sdn Bhd menjelaskan, ketika menjalankan kajian mengenai konsep tadika yang akan diperkenalkan dia melihat kanak-kanak masa kini sangat terbatas dalam mengenali alam sekitar.

Sejak kecil ibu bapa melarang mereka bermain dengan pasir dan tanah kerana dikhuatiri mengotorkan tangan dan mendatangkan penyakit. Tidak seperti kanak-kanak pada zaman dulu yang sangat matang kerana bermain dengan permainan di luar bilik darjah seperti mandi sungai, gelang getah, guli dan masak-masak yang meningkatkan pemahaman mereka mengenai kehidupan dan pembelajaran.

“Kami menyedari pentingnya kanak-kanak didedahkan kepada alam semula jadi untuk membantu dia merangka proses pembelajaran menerusi alam yang kemudiannya dibentuk dalam setiap silibus pengajaran. Malah dalam setiap aktiviti akan terselit mata pelajaran seperti bahasa Melayu, Inggeris, Matematik dan Sains,” katanya.

Bergerak seiring

Dia yang menjalankan kajian mengenai pendidikan awal kanak-kanak ketika menetap di Jerman mendapati pencapaian akademik dan tingkah laku anak-anak tidak boleh diasingkan. Ia perlu bergerak seiring kerana daripada minat yang mendalam terhadap pelajaran akan mencetuskan keseronokan sehinggga menjadikan mereka mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi untuk berhadapan orang ramai.

“Apa yang saya perhatikan apabila mereka meningkat usia anak-anak ini tidak takut meluahkan pendapat, suka berkawan, saling membantu, bijak melontarkan idea dan sering bertanya guru.

“Ini menjadikan mereka mampu berhadapan orang ramai dalam apa juga keadaan. Apa yang berlaku bukan disebabkan pendedahan akademik semata-mata tetapi pentingnya menerapkan tingkah laku positif yang perlu disemai sejak mereka berada di awal usia,” katanya.TNH02.transformed

Menyedari pentingnya memupuk minat belajar dalam kalangan anak-anak yang lahir daripada hati naluri bukan dipaksa, Noor Hayati memikirkan konsep pengajaran dengan menyediakan silibus berdasarkan kehendak serta jati diri kanak-kanak itu sendiri.

Kanak-kanak sangat aktif, suka bergerak serta inginkan aktiviti menggunakan kedua-dua tangan dan kaki. Secara tidak langsung bermain dengan alam seperti menanam pokok, melawat kebun buah-buahan, bermain tanah dan air mendorong kepada perkembangan otak mereka.

“Jika diperhatikan sambil ‘bermain’ dengan pokok, mulut mereka tidak henti-henti bertanya mengenai apa, siapa, mengapa, bagaimana sehinggalah kepada soalan yang sepatutnya kita tidak sangka keluar daripada mulut kanak-kanak di bawah usia enam tahun. Tetapi disebabkan aktiviti di luar kelas ini dekat dengan mereka menyebabkan ianya melangkaui sempadan pemikiran mereka.

“Aktiviti juga membabitkan isu semasa serta apa yang berlaku dalam persekitaran mereka. Misalnya pada Syawal mereka diajar mengenai kuih raya, baju raya serta amalan positif yang dilakukan seperti menghormati orang tua, bersalaman dengan orang lebih tua, beradab sopan ketika mengunjungi rumah tetamu. Secara tidak langsung kosa kata dalam bahasa Melayu dan Inggeris semakin bertambah,” katanya.

Meresap di jiwa

Aktiviti semula jadi dan kemudian dibentuk menjadi program pembelajaran dapat membangunkan fokus kanak-kanak membuatkan mereka lebih faham. Ini kerana apa yang dipelajari adalah sesuatu yang dilakukan sehari-hari. Contohnya aktiviti menyiram pokok memudahkan pemahaman sekali gus ilmu meresap

di jiwa dengan cepat dan mudah.

Penerokaan, pembabitan serta melakukan sendiri adalah tiga perkara asas yang perlu dilakukan kanak-kanak setiap hari. Jika dijadikan sebagai rutin ia dapat membuka ruang yang lebih luas untuk mereka membina ilmu berdasarkan ruang lingkup dan asas yang diberikan tetapi tanpa batasan.

Mereka juga mudah menerima pelajaran dan mempunyai semangat menuntut ilmu yang sangat tinggi lantaran teruja terhadap terhadap sesuatu ilmu yang sudah dipelajari.

“Hinggakan pada satu ketika ada anak bertanya mengenai soalan di luar kemampuan fikiran mereka. Ada ibu bapa terkejut dengan perkembangan mental dan emosi anak yang begitu cepat berubah. Mereka menjadi lebih matang sama ada terhadap diri mahupun keluarga,” katanya.

Jelas Noor Hayati lagi, proses pembelajaran akan jadi lebih berkesan apabila ibu bapa turut sama terbabit dalam program melawat ke kebun buah-buahan atau melihat hasil usaha anak mereka menerusi aktiviti yang diadakan setiap hari.

Pencapaian luar biasa

Ramai bertanya mengapa kanak-kanak didedahkan dengan aktiviti fizikal dan projek seni bukannya pembelajaran semata-mata?

Jelas Noor Hayati di sebalik aktiviti dan bermain terselit seribu satu makna yang luar biasa. Ia bukan sekadar mainan biasa tetapi memberikan makna dalam jiwa kanak-kanak. Di sinilah terhasilnya perubahan tingkah laku terutama bagi kanak-kanak yang bermasalah.

“Misalnya ada kanak-kanak yang tidak boleh membaca namun menunjukkan pencapaian luar biasa apabila berinteraksi dengan alam, begitu juga kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku di luar kawalan mampu dibentuk menjadi seorang yang mengikut arahan dan berdisiplin. Apabila naluri mereka ditukar, kanak-kanak ini akan menjadi seorang yang cintakan ilmu dan pembelajaran,” jelasnya.

Tadika Naluri juga tidak menggunakan orientasi peperiksaan kepada kanak-kanak kerana penilaian diadakan setiap hari secara tidak formal menerusi aktiviti dan tingkah laku. Keputusan penilaian akan disampaikan kepada ibu bapa dan ia sedikit sebanyak dapat mengelak tekanan bukan saja pada si kecil tetapi penjaga.

“Apa yang saya ingin tekankan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun sangat perlu kepada bimbingan dan penilaian berterusan, bukannya peperiksaan. Di sini kami menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Arab sebagai asas pembelajaran selain mata pelajaran asas Matematik, Sains, al-Quran dan Jawi,”

katanya yang setakat ini sudah membuka lima cawangan Tadika Naluri di sekitar Lembah Klang.

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Sumber rujukan : http://www.hmetro.com.my/node/15011?m=1

 

Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 10 Disember 2014 @ 5:05 AM