4 Perkara Penting Raikan Potensi Anak

raikan potensi anak

Untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang haruslah disertakan dengan ilmu agar potensi anak dapat diraikan dalam pelbagai aspek. Setiap daripada ibu bapa pasti menginginkan potensi diri anak kita terserlah. Sebelum mereka dilahirkan ke dunia ini sudah tertulis di Luh Mahfuz akan setiap kelebihan yang tersendiri. Sebagai ibu bapa, kitalah orang yang perlu membantu mereka mengasah potensi tersebut.

Anak-anak mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Ibu bapa berperanan dalam membantu mengembangkan potensi anak. Sebelum kita melihat ruang dan peluang yang boleh kita bantu, terdapat 4 perkara penting yang perlu kita tanamkan. Bagaimana sikap kita terhadap mereka akan memberi impak yang besar kepada potensi diri anak masing-masing.

Menghormati Anak

Sumber: Pexels.com

Setiap anak amat memerlukan kita untuk menghormati mereka, bukan bererti tunduk mengikut segala permintaan anak-anak tanpa sebarang pertimbangan. Tetapi menghormati hak mereka sebagai seorang anak.

Menghormati hak mereka bererti kita memahami bahawa mereka perlukan kasih sayang, tidak mempermainkan kata-kata mereka, serta melayan mereka dengan lemah lembut sebagaimana haknya. Berapa ramai antara kita berlemah lembut pada orang lain tetapi tidak pada anak sendiri?

Menghormati mereka juga bermaksud memberi laluan dan peluang untuk mereka meluah dan memberi pendapat. Berapa ramai antara kita yang sering mematikan kata-kata anak sendiri? Ini mungkin nampak santai, tetapi kebiasaan yang kita lakukan inilah yang akan mempengaruhi corak pemikiran sebagaimana mereka melihat diri mereka dan orang disekelilingnya.

Apabila hak ini dipenuhi dan dihormati mereka akan merasa lebih dihargai dan mempercayai dengan kebolehan diri sendiri. Maka ia lebih mudah untuk mereka menyerlahkan potensi diri.

Membiasakan Komunikasi Aktif

raikan potensi anak | membiasakan komunikasi aktif
Sumber: Pexels.com

Personaliti, karakter dan kepribadian anak terbentuk melalui pengalaman awal kehidupannya bersama ibu bapa kerana bukankah anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya?

Pemikiran mereka akan lebih terhubung sekiranya kita menggabungjalinkan apa yang berlaku dengan apa yang mereka fikirkan. Lebih banyak kita bertukar fikiran dengan mereka, lebih cepat untuk mereka faham sesuatu keadaan. Biarkan mereka bertanya untuk mendapat informasi yang benar.

Sekiranya kita membaca, galakkan aktiviti membaca dan berdialog bersama anak agar ia menjadi komunikasi dua hala sesama orang dewasa. Kita juga boleh ajukan persoalan atau sesuatu untuk merangsang diskusi tersebut. Dengan, ini membaca bukan sekadar membaca, malah anak akan lebih teruja hasil daripada dialog yang dihidupkan.

Secara tak langsung kita melatih mereka menjadi seseorang yang berfikir secara kritis. Pemikiran kritis (critical thinking) adalah sangat penting sebagai latihan dalam membuat keputusan (decision making). Di zaman lambakan informasi di hujung jari ini, anak kita perlu tahu mempertimbangkan baik buruk sesuatu keputusan. Dengan itu, mudahkan mereka mengeksplorasi potensi diri dengan lebih bijak.

Pelbagaikan Kaedah

raikan potensi anak | pelbagaikan kaedah
Sumber: Pexels.com

Anda pernah dengar ada orang apabila belajar menggunakan sesuatu kaedah, dia tak berjaya. Namun apabila belajar menggunakan kaedah lain, hasilnya sebaliknya? Anak kita juga tidak terlepas daripada ujian. Sekiranya ada cabaran dalam mendidik mereka, jangan terus “give up” dengan menghamburkan kata-kata seperti “dia malas”, “dia nakal”, “dia tidak minat belajar”, “dia tidak mendengar kata”.

Sebaliknya, tanamkan pada diri bahawa setiap anak adalah unik. Mereka mempunyai cara tersendiri untuk membuat sesuatu. Sekiranya satu pendekatan yang kita guna itu tidak berjaya, tidak semestinya anak kita seorang yang tidak bagus.

Berilah peluang pada diri kita juga untuk ‘explore’ cara-cara lain. Sebagai contoh, dalam usaha mendidik anak membaca. Sekiranya percubaan kita dengan satu cara itu tidak berjaya, jangan terus menghukum dengan andaian anak tidak pandai. Sebaliknya, cari langkah-langkah yang lain yang boleh membantu mereka.

Dalam hal ini tidak dinafikan, sebagai ibu bapa bagus untuk sentiasa mendapatkan ilmu dalam mencari solusi. Menuding jari, sedih, hidup resah dan tertekan tidak akan membantu memperbaiki sesuatu keadaan.

Memberi perhatian dan sokongan

Sumber: Pexels.com

Kita seringkali mengambil ringan dari aspek ini. Namun ini merupakan antara perkara yang sangat penting dalam meraikan potensi anak. Memberi perhatian ini bermaksud memberi sepenuh jiwa dan raga kita kepada anak-anak. Ibu bapa haruslah memberi sokongan dan dorongan serta menjadi tulang belakang untuk mereka. Perhatian kita adalah pembuktian cinta kita pada mereka.

Selain itu, memberi perhatian bermaksud kita memenuhkan “tangki cinta” kita pada mereka. Anak-anak merupakan insan yang dahagakan cinta ibu bapanya. Apabila tangki cinta ini penuh, maka ia akan memudahkan kerja-kerja yang lain. Ibarat bateri yang penuh, sangat mudah untuk menggerakkan sesuatu apabila ia penuh dengan syarat, ada sambungannya. Jadi kita lah penyambung tangki cinta pada anak-anak.

Dengan 4 perkara penting ini sahaja merupakan sesuatu yang sangat luar biasa impaknya pada mereka. Memperhebat semua point yang dikupas di atas, secara tidak langsung akan mempengaruhi bagaimana kita berkomunikasi dengan anak. Anak yang kita hormati haknya, akan kita jaga hak mereka semasa kita berkomunikasi.

Anak yang kita berbual dengan aktif bersama membantu dalam mencari minat-minatnya. Anak yang kita berikan perhatian dan sokongan, terasa senang berbicara dan bertukar pendapat dengan ibu bapa.