Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Cara Ini Bantu Atasi Masalah Anak Lambat Siap Kerja

Guru-guru di tadika dan sekolah pasti sudah biasakan dan situasi ini? Lebih-lebih lagi situasi ini sering terjadi pada anak di tadika dan anak darjah 1 hingga 3. Sebelum usia anak masuk tadika pun sebenarnya sudah kita lihat situasi ini tetapi melibatkan perkara lain.

Ada kalanya kanak-kanak ini berasa sedih dan menangis, ada yang hilang motivasi, dan tidak kurang juga ada yang bersemangat menyiapkan kerja. Lain kanak-kanak lain sikapnya. Faktor persekitaran juga memainkan peranan tersendiri. Jadi, bagaimana mereka boleh dibantu?

 

1. Memeriksa Kebiasaan Yang Berlaku

Ibu ayah dan pendidik boleh lihat apakah reaksi anak apabila mereka sedih tidak dapat siapkan sesuatu kerja.  Lihat dari beberapa sudut iaitu tugasan apa yang sedang dilakukan dan apakah bahan atau perkara spesifik yang perlu dilakukan oleh anak itu.

Hal ini kerana ada anak tidak punyai masalah dalam membuat tugasan, namun bermasalah dengan bahan yang digunakan. Oleh itu penting untuk ibu bapa memahami situasi anak terlebih dahulu.

 

2. Melihat Kemahiran Spesifik Yang Diperlukan

Seperti di point pertama tadi, lihat bagaimana kemahiran yang susah ini boleh dimudahkan. Boleh jadi sesuatu kerja yang ingin disiapkan hanya memerlukan 5 langkah bagi anak A, tetapi memerlukan 15 langkah bagi anak B.

Namun tidak semestinya setiap jalan singkat itu cemerlang kerana boleh jadi ada jalan kerja yang memerlukan perjalanan yang lebih jauh sedikit untuk membantu kefahaman anak tetapi hasilnya masih tetap bagus.

Fahami juga adakah ia persepsi yang perlu dibetulkan atau ia sebuah kemahiran yang memerlukan latihan. Ini disebabkan terdapat segelintir ibu bapa yang merasakan anak mereka tidak dapat menyiapkan tugasan kerana malas atau kuat bermain.

Nanti dulu! Jangan terus buat kesimpulan. Cuba fahami bagaimana mereka memproses maklumat dan bagaimana kemahiran mereka boleh digilap dari semasa ke semasa.

 

3. Integrasikan Rutin Melalui Aktiviti

Berdasarkan pengalaman saya sepanjang menjayakan NALURI Kreatif, ramai kanak-kanak akan termotivasi untuk belajar dan menyiapkan sesuatu apabila mereka berasa seronok. Keseronokan adalah intipati utama, bukan sampingan.

Mempelbagaikan cara kerja untuk menarik minat anak bersama-sama dengan kemahiran yang ingin kita bangunkan pada anak adalah satu langkah yang sangat membantu.

Contohnya, seorang anak akan terasa bosan menyiapkan kerja kerana banyak menulis. Sebaiknya, apabila diselitkan dengan aktiviti lain seperti lakonan, seni kraf, lukisan yang akhirnya ditukar kepada menulis, tentunya ia menjadi sesuatu yang menyeronokkan.

Antara idea yang boleh diintegrasikan adalah dengan eksperimen, bersukan atau apa sahaja aktiviti yang melibatkan fizikal.

 

4. Kurangkan Masa, Tambahkan Kekerapan

Kemahiran anak boleh digilap dengan cara menambah kekerapan, tetapi dengan durasi yang pendek. Contohnya, jika seorang anak yang ingin menulis dengan lancar, boleh dibantu dengan aktiviti rangsangan sentuhan seperti bermain playdough, pasir, disertakan dengan aktiviti melukis, mengecat dan mewarna.

Aktiviti ini tidak memerlukan masa yang lama namun sudah cukup membantu kerana secara tidak langsung terlibatnya aktiviti berkomunikasi.

Aktiviti komunikasi yang santai boleh menjadikan sebuah aktiviti lebih mudah. Lebih-lebih lagi apabila ia dibincangkan selari dengan perkembangan kognitif anak tersebut.

 

5. Sokongan Rakan, Ibu Bapa Dan Pendidik

Setiap anak adalah unik dan mempunyai potensi tersendiri. Sokongan kita amat bermakna buat mereka. Justeru ibu bapa perlu tunjukkan keadilan dalam memberi sokongan dari sudut dan perspektif yang berbeza.

Jangan lupa bahawa sokongan dari adik beradik dan rakan sebaya juga memainkan peranan penting agar mereka dapat memberi respon yang baik. Sokongan yang menyeluruh mampu membina dan memupuk nilai murni dalam diri anak.

 

6. Rancang Aktiviti Berkumpulan Bersesuaian

Sekiranya proses ini melibatkan lebih dari seorang anak, anda boleh lihat bagaimana aktiviti dalam kumpulan anak ini boleh diolah supaya mencapai target yang diingini. Olahan mengikut kreativiti dan berdasarkan keperluan anak adalah satu tindakan yang bijak.

Malah penglibatan aktiviti berkumpulan mampu mewujudkan suasana meriah dan memupuk kerjasama. Justeru, melalui saluran yang betul, sikap anak akan berubah ke arah yang lebih baik.

Akhir kata, sekiranya anda sudah cuba cara begini tetapi masih belum berjaya, tidak salah untuk kita dapatkan pandangan dari yang lebih arif. Boleh jadi anak yang kita santuni ini bakal memberikan manfaat yang sangat banyak apabila mereka dewasa kelak.

Proses menggilap potensi anak ini adalah proses yang sangat mahal. Tidak rugi untuk kita perhalusi dan menghayati perjalanan ini. Suatu hari permata ini akan serlahkan potensi mereka.

 

 

P/S: Sekiranya anda mencari tadika dan taska yang meraikan perkara diatas, anda boleh pertimbangkan Tadika NALURI Kreatif. Ada 15 cawangan untuk anda semak! Ayuh serlahkan bakat anak anda di sini!