Kesedaran Awal Tentang Emosi

Sebelum ini, mungkin kita memandang enteng tentang kesedaran kesihatan mental. Sudah sampai masanya untuk kita memberikan peluang kepada anak-anak di Malaysia menjadi seorang yang jauh lebih celik tentang emosi.

Melalui pendekatan yang mesra anak-anak, perkara ini perlu dibincangkan bersama dengan lebih mendalam supaya mereka lebih senang menjiwai dan dapat mengaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Pentingnya Mendengar Suara Anak

Sebelum itu, semua individu terlibat termasuk anak mestilah saling bekerjasama dalam mencari kaedah terbaik agar suara mereka didengari dengan lebih telus dan seterusnya dapat membantu mereka mengendalikan emosi dengan lebih baik.

Hal ini kerana apabila mereka merasakan suara mereka didengari, mereka lebih senang mengekspresikan isi hati dan perasaan mereka. Bukankah lebih baik begitu? Tambahan pula, reaksi kita dalam memberi tindak balas terhadap anak sedikit sebanyak memberi kesan kepada perkembangan sosioemosi mereka.


Terapi Bermain Sebagai Sokongan

Dalam hal itu, ada satu artikel dari USIM menceritakan bahawa bermain merupakan satu terapi dalam membantu sosioemosi anak-anak.


“Terapi bermain adalah satu bentuk kaunseling atau psikoterapi yang menggunakan permainan untuk berkomunikasi dan membantu orang, terutamanya kanak-kanak, untuk mencegah atau menyelesaikan cabaran psikososial. Ini dipercayai untuk membantu mereka ke arah integrasi sosial, pertumbuhan dan pembangunan yang lebih baik, modulasi emosi, dan resolusi trauma.”

Dipetik dari jurnal tulisan Azlina Musa & Yusmilayati Yunos.


Satu perkara yang penting dalam membantu anak mengurus emosi adalah mewujudkan hubungan ikatan atau nama kata lain “bonding” antara ibu bapa dan anak terjalin. Maksud saya di sini adalah memastikan anak-anak berasa selesa menceritakan keadaan atau situasi yang dilalui mereka.

Contohnya, mungkin mereka terima pujian oleh guru hasil dari kerja yang kemas, atau mungkin juga mereka melalui hari yang malang di sekolah. Kita sebagai ibu bapa juga haruslah memainkan peranan memberi kerjasama, okay?

Namun, apa kepentingan semua ini?


Perkembangan Emosi Melalui Aktiviti Main Peranan (Roleplay)

Keupayaan mengurus emosi membolehkan anak memahami emosi, keperluan dan menghormati pandangan orang lain membina kemahiran sosial dalam masyarakat berbilang kaum yang mesra dan harmoni.


Bagaimana mereka dewasa nanti sedikit sebanyak dipengaruhi oleh bagaimana kita mencoraknya. Jadi apa kaitannya dengan topik kita pada hari ini?

Kanak-kanak sangat aktif di antara umur 3 hingga 9 tahun. Namun menjelang umur 5 tahun, perkembangan emosi mereka menjadi lebih pesat. Mereka menjadi lebih baik dalam mengawal emosi dan bercakap tentang perasaan mereka dengan lebih mudah.

Kita sebagai ibu bapa hendaklah mengambil peluang ini dengan melibatkan diri bersama-sama mengajak mereka membuat aktiviti yang mengukuhkan keupayaan emosi, mental dan fizikal.

Aktiviti Seni dan Kraf

Salah satu aktiviti yang disarankan adalah tidak lain dan tidak bukan aktiviti yang melibatkan seni dan kraf. Melalui aktiviti ini, anak-anak boleh terus berinteraksi dengan kita dan akhirnya membina ikatan yang kuat.

Kadangkala ianya tidak memerlukan banyak perbualan spesifik mengenai perasaan. Memadai dengan memberi tumpuan penuh terhadap aktiviti yang dimainkan, memberi galakan, pandangan dan keprihatinan, serta diselitkan dengan komunikasi yang baik.

Elakkan Paksaan, Galakkan Keterlibatan

Keterlibatan kita adalah ubat buat mereka. Namun elakkan dari terus memaksa mereka perkara yang mereka tidak minat atau tidak suka. Apa akan terjadi sekiranya kita paksa? Ia sudah tidak merawat luka, tetapi menambah duka.

Di sini saya sertakan contoh aktiviti yang boleh ibu bapa turut serta, antaranya ialah:

  • Glass painting
  • Doodling
  • Bernyanyi
  • Menari
  • Mendengar muzik

Selain itu, ibu bapa juga boleh bermain permainan yang melibatkan deria sentuhan seperti play-doh, slime dan tanah liat.

Melalui projek kraf, kita meraikan imaginasi anak, membantu anak mencurahkan idea kreatif, membantu anak menerima hasil mereka dan belajar meraikan hasil mereka. Oleh itu, peranan kita ialah sebagai fasilitator agar aktiviti yang dihasilkan bukan sekadar hiasan namun menjadi pelajaran bermanfaat.

Penutup

Akhir kata, kami doakan kita semua menjadi ibu bapa yang lebih prihatin terhadap emosi anak. Tidak lupa juga emosi diri sendiri kerana apabila kita menunjukkan keprihatinan terhadap perkembangan emosi mereka, sedikit sebanyak kita dapat belajar memahami dan mendalami perasaan anak-anak.

Nurul Hanan Arifin

CEO Natural Learning Initiatives