Tekanan Akademik Dan Kesan Terhadap Kesihatan Mental

Saya percaya bahawa ramai daripada kita ditanamkan dengan mentaliti bahawa untuk mencapai kejayaan mestilah dengan mendapatkan keputusan cemerlang di sekolah.

 

Namun di peringkat akar umbi lagi, kanak-kanak digalakkan untuk terus berfikir ke hadapan dan mempersiapkan diri secara akademik untuk pencapaian ke tahap tertinggi, dan seterusnya membawa kepada tekanan akademik.

 

Apa? Tekanan akademik?  Ya, mari kita perhalusi satu per satu.

 

 

Tekanan akademik ditakrifkan sebagai “pengalaman di mana seseorang pelajar dibebani oleh tuntutan masa dan tenaga untuk mencapai matlamat akademik tertentu. Tekanan boleh datang daripada pelbagai sumber yang berpotensi, dan mempunyai pelbagai impak kepada pelajar dari segi emosi dan akademik.”

 

Golongan muda seringkali terjerat dengan tekanan akademik. Hal ini kerana mereka mudah menerima tekanan akademik dari pelbagai aspek, seperti tekanan rakan sebaya, sifat kompetitif dengan pelajar lain, tekanan daripada ibu bapa dan guru serta lain-lain lagi.

 

Justeru, adalah penting jika dapat dikawal perasaan ini daripada terus menekan mental seseorang remaja dengan cara mempelajari menyeimbangi tuntutan hidup.

 

Terdapat pelbagai kesan yang tidak diingini boleh timbul oleh orang muda, menyebabkan seseorang remaja mengalami gejala tekanan emosi dan/atau fizikal. Tekanan akademik yang besar boleh menyebabkan seseorang itu bergelut dengan mana-mana contoh berikut, yang disediakan oleh Universiti Stanford:

 

  • Taksub dengan gred

  • Kebimbangan (anxiety)

  • Perubahan selera makan

  • Daya saing yang melampau

  • Kesukaran tidur (insomnia)

  • Hilang minat (lose of interest)

  • Pengasingan sosial (social isolation)

 

 

Tekanan akademik tidak semestinya datang daripada keingingan untuk mendapatkan gred atau markah yang tinggi dalam ujian semata-mata. Kajian mendapati bahawa tahap tekanan akademik yang berlebihan boleh mengakibatkan “peningkatan masalah psikologi dan fizikal seperti kemurungan, kebimbangan, kegelisahan dan gangguan berkaitan tekanan,” yang seterusnya menjejaskan keputusan akademik.

 

Tekanan akademik sering dikaitkan dengan pelajar sekolah menengah semasa mereka bersedia untuk kolej, tetapi realitinya ialah pelajar sekolah rendah juga mengalaminya. Pelajar dari semua peringkat umur perlu menyesuaikan tekanan untuk mencapai prestasi akademik yang baik dengan kokurikulum, kerja rumah dan ujian standard. Dan ini juga berlaku untuk pelajar dalam semua situasi sosioekonomi.

 

 

Malangnya, tekanan yang berkaitan dengan sekolah hanya bertambah buruk oleh krisis COVID-19. Para pendidik dan guru bimbang tentang kehilangan pembelajaran akibat pandemik, dan ianya betul berlaku apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah beberapa kali menangguhkan persekolahan dan menggantikan dengan pembelajaran secara maya.

 

Ini tidak termasuk dengan penangguhan sekolah disebabkan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini. Menerusi satu video yang dikongsikan Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin di Twitter, sekolah akan kembali dibuka pada 9 dan 10 Januari 2022 bagi memberi laluan buat para guru, ibu bapa dan pelajar pulih dari situasi banjir.

“Kita sedar ini adalah tempoh yang amat sukar bagi semua pihak dan kita fahami bahawa mereka memerlukan masa bagi kembali menyiapkan keperluan sebelum mereka dapat memulakan sesi persekolahan bagi penggal 3 2021/2022. Kita doakan yang terbaik bagi mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.”

Apabila pelajar kembali kepada pembelajaran secara bersemuka, mereka perlu mengambil kira kehilangan pembelajaran ini, yang membawa kepada tekanan tambahan kepada pelajar.

 

Di sebalik realiti pandemik ini, pelajar tidak terkecuali daripada tekanan untuk mengekalkan gred tinggi, walaupun berurusan dengan perkara seperti akses terhad kepada peranti digital dan internet, ahli keluarga yang sakit, sokongan sosial yang lemah serta diet yang tidak seimbang.

 

Justeru, bagi membantu pelajar mengurus emosi mereka, sebagai ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting dengan cara meningkatkan kesedaran diri mereka, membangunkan identiti diri yang positif, dan membantu mengekalkan sosio-emosi dalam mengurangkan tekanan akademik.

 

 

Sebagai seorang ibu bapa hendaklah membantu anak mencari solusi dalam membina kestabilan emosi anak agar tekanan yang dihadapi sekarang tidak menjadi trauma pada masa hadapan kelak. Untuk membaca tips dan aktiviti yang boleh membantu perkembangan emosi kanak-kanak, anda boleh klik di sini

 

Sebagai rumusan, kita semua pernah berada di mana anak-anak anda berada di suatu ketika dahulu. Jadi pentingnya ibu bapa memberi sokongan penuh terhadap perkembangan akademik anak sejajar dengan aliran perubahan dunia yang kian mencabar. Dan ini termasuklah mengemudi punca tekanan berkaitan sekolah, seperti hubungan rakan sebaya, penilaian ujian tinggi, dan konflik terhadap guru serta perubahan persekitaran.