Panduan Khas Ibu Bapa Menghantar Anak-Anak Ke Tadika

panduan khas ibu bapa menghantar anak ke tadika

Anda ibu bapa yang mencari panduan khas menghantar anak-anak ke tadika? Teruskan pembacaan di bawah.

Bagi anak-anak berusia 3 hingga 7 tahun, ia merupakan perkara yang besar untuk berada di sekolah selama 5 hingga 9 jam bersama guru dan kawan-kawan yang baru dikenali, atau setelah lama bercuti. Apatah lagi yang belum pernah bersekolah ataupun perubahan suasana di tempat baru. Perubahan rutin akan memberi impak terhadap kestabilan emosi mereka dan memerlukan masa untuk penyesuaian diri.

Pada peringkat awal, sekurang-kurangnya 2 minggu masa yang diperlukan agar anak-anak dapat merasa gembira hadir ke sekolah, menyesuaikan diri dengan rutin persekolahan secara bertahap, berkenalan dan bersahabat dengan rakan baru. Malah sedikit sebanyak membina kepercayaan dengan para guru dan terhadap sistem persekolahan serta rutin bersekolah.

Pihak tadika dan sekolah yang baik akan menyediakan pelbagai program yang menarik tanpa tekanan untuk mencapai objektif ini dengan menggunakan jadual anjal.

Bagi membantu pencapaian objektif di atas, kami gariskan panduan khas untuk ibu bapa membantu anak-anak melalui fasa transisi ini.

1. Berbual dengan anak mengenai hari persekolahan

Seperti contoh, buat pengiraan hari menjelang persekolahan. Gambarkan suasana sekolah yang mempunyai rakan yang ramai untuk bermain dan banyak permainan serta aktiviti seronok setiap hari. Ibu bapa juga boleh mengajak anak melalui jalan ke sekolah dan sediakan mindanya dengan bercakap dengan perkara positif hal persekolahan.

 

2. Membuat persiapan persekolahan

Persiapan persekolahan seperti memilih pakaian sekolah, menyiapkan buku nota yang mencukupi, menyediakan stokin bersebelahan dengan kasut sekolah dan juga botol air adalah antara contoh yang boleh dilakukan bersama anak. Selain itu juga, anak-anak yang diberi peluang membawa barang-barang kegemarannya akan rasa lebih selamat di tempat baru. Anak-anak akan lebih bersedia dan melupakan rasa gemuruh hendak memulakan persekolahan.

 

3. Mengajak anak-anak untuk tidur lebih awal

Untuk mengajak mereka untuk tidur awal, pastikan mereka dielakkan dari penggunaan gajet pada waktu malam seperti telefon pintar dan tablet, termasuklah penggunaan televisyen. Hal ini disebabkan pendedahan skrin lampu yang berlebihan akan membuatkan jadual dan kestabilan emosinya terganggu. Ibu bapa boleh menyesuaikan jadual keluarga agar anak-anak dapat tidur dan bangun awal dalam keadaan gembira dan bertenaga.

menghantar anak ke tadika
Sumber: Envato.com

 

4. Aktifkan habit ceria dengan bangun awal

Dalam membentuk habit yang baru kepada anak memerlukan kemahiran tertentu, lebih-lebih lagi melibatkan fizikal dan emosi. Caranya adalah dengan mengejutkan anak dengan cara lembut dan berhemah, berbual dengan anak ketika bangun, mandi dan sarapan. Elakkan membawa emosi negatif seperti memarahi atau membebel di pagi hari. 

 

5. Elakkan berada terlalu lama di kawasan sekolah

Apabila meninggalkan anak di sekolah mahupun tadika pada waktu pagi, berbual dengan anak selama 5 hingga 10 minit. Perkenalkan dengan guru, yakinkan anak mereka dengan gembira, nyatakan tentang berjumpa kawan baru boleh bermain dan belajar, serta tanamkan pemikiran bahawa guru akan menjaga mereka dengan baik. Seterusnya diakhiri dengan aktiviti bersalaman dan pelukan serta lambaian ceria. 

 

6. Maklumkan pada anak jam berapa untuk anda ambil

Sebaiknya ibu bapa sendiri yang mengambil anak-anak kerana secara psikologinya, anak-anak akan merasa dirinya penting. Patuhi masa yang telah dijanjikan dengan anak. Ini akan membina kepercayaan anak kepada ibu bapa dan sistem persekolahan. Sekiranya ibu bapa sering lewat mengambil anak di sekolah, anak-anak akan merasakan sekolah ini dengan gambaran negatif khususnya di peringkat awal persekolahan. 

7. Memberikan pujian atas keberanian anak ke sekolah

Apabila mengambil anak ketika pulang, puji mereka kerana berani ke sekolah, kerana berjumpa dengan guru-guru dan rakan-rakan baru. Selain itu juga boleh wujudkan perbualan dengan bertanyakan tentang situasi di sekolah, aktiviti apa yang dilakukan serta bertanyakan nama-nama kawan yang baru dikenali. Perbualan bermakna ini akan membuatkan anak-anak teruja untuk kembali ke sekolah keesokan harinya lebih-lebih lagi jika diselitkan sekali dengan pujian yang membina.

Sumber: Envato.com

 

8.Elakkan meminta gambar anak-anak

Seiring dengan peredaran zaman, segala informasi berada dihujung jari. Tak dapat dinafikan juga segala isu semasa yang terjadi di sekolah boleh didapati dengan mudah. Namun ingin diingatkan kepada ibu bapa, ketika berlangsungnya sesi, elakkanlah meminta gambar anak-anak. Hal ini kerana guru-guru perlu memastikan program yang disusun berjalan lancar, serta keselamatan dan kebajikan anak-anak terpelihara. Sekiranya terdapat kecemasan lebih baik terus hadir ke tadika mahupun sekolah.

 

9. Memberi fokus yang lebih kepada anak bermasalah

Bagi anak-anak yang masih perlu perhatian khususnya di peringkat tadika, para guru akan mengusahakan pelbagai kaedah yang akan membantu mereka menyesuaikan diri dengan baik yang selari dengan psikologi mereka. Justeru perkara ini agak memerlukan masa. Pihak tadika akan memaklumkan dan berbincang dengan ibu bapa tentang keperluan ini dengan ibu bapa sekiranya ada. Bagi anak-anak yang masih dalam fasa ini, ibu bapa disarankan untuk memberi fokus yang lebih kepada mereka mengambil lebih awal. Ini sedikit sebanyak akan membantu proses adaptasi ke suasana tadika dan membina kepercayaan kepada sistem dan rutin persekolahan.

 

Semoga catatan khas di atas dapat membantu semua ibu bapa terutama ibu bapa baru dan yang mempunyai anak kecil atau memerlukan lebih perhatian ketika fasa transisi ini.

Ikuti kami di media sosial kami Facebook dan Instagram untuk lebih panduan ibu bapa!