Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Kawalan Amarah Sang Ibu Ayah..

 

Kawalan Amarah Sang Ibu Ayah.. 

Betapa berharga dan besar pengaruh sang ibu dan ayah terhadap anaknya. Apabila mereka gembira, anak-anak turut gembira sama.
Bagaimana pula bila ibu atau ayah menjadi marah? Sekiranya mengikut kepada teori yang mudah ini, anak-anak akan turut marah.
 
Namun, apabila ibu bapa marah, anak-anak akan mengalami gangguan emosi. Jiwa mereka dilanda gejolak yang tidak mampu dibendung kekacauannya, sehingga menguasai minda, tindakan dan juga tampak pada tubuh badannya resah dan menggeletar.
Anak mungkin kelihatan tunduk, menangis, dada berombak, bergenang air mata. Dan mungkin mereka akan kembali ceria. Lalu kita rasakan bahawa mereka telah melupai kemarahan kita tadi.
 
Apakah mereka melupainya?
Tidak, mereka mungkin cuba melupakannya. Tetapi kesan kemarahan ini akan tetap bersama anak sekurang-kurangnya 6 jam, di minda, di fikiran, di jiwanya. Di mana mereka berada, di situ mereka tidak akan mampu berfungsi dengan baik, kesan dari nafsu amarah ibu dan bapa.
 
Anak yang sentiasa dimarahi pula akan cari jalan untuk mengeluarkan tekanan dari dirinya. Ia mesti mengeluarkan dari dirinya. Lalu ia menyalurkan kepada individu yang bersamanya di ruang lain, boleh jadi para guru atau rakan-rakan, jiran-jiran atau adik-beradiknya. Ia mungkin meniru amarah ibu atau bapa yang dilihatnya sebelum ini.
 
Percayakah ibu ayah anak-anak akan mewarisi nafsu amarah ini, malah mampu menukarnya kepada tingkahlaku negatif yang lebih buruk di luar jangkaan kita lagi.
Nah. Sekarang bagaimana? Kita mahu terus hidup dalam kitaran begini? Apa akhirnya kesudahan anak-anak yang melalui kemarahan ibu bapa ini secara berterusan?
 
Maka kawalan amarah sang ibu dan ayah seharusnya menjadi perjuangan hakiki semua keluarga. Kerana ia benar-benar musuh semua keluarga masa kini.
Sekiranya kita mengimpikan anak-anak permata ini menyerlahkan potensinya secara maksima, kawallah amarah kita, sang ibu dan ayah. Nilai keluarga itu pada kasih sayangnya, bukan pada nafsu amarahnya.
 
Kitaran amarah perlu di sekat. Ia sebuah perjuangan. Jangan kerana alasan anak yang salah, kita berterusan menjadi pemarah. Cari solusi hentikan habit ini. Belajar dan berusaha dan berjuang menghentikannya. Agar tiada lagi rantaian amarah diturunkan kepada ahli keluarga dan generasi seterusnya. 
 
Carilah ketenangan melawan amarah pada solat, membaca Al-Qur’an, mendengar nasihat-nasihat dan berbicara dengan rahmah dan santun.
Semoga Allah memberkati kita semua.
 
Sekian dahulu dari kami untuk hari ini. 
 
Oleh: Nurul Hanan Arifin, Pengarah Urusan NLI Education Sdn Bhd