6 Aktiviti Di Dapur Bersama Anak

Aktiviti Di Dapur Bersama Anak Kesayangan

Aktiviti di dapur bersama anak? Hmm…bunyi seperti menarik bukan? 🤔

Pada Disember 2021, telah berlangsungnya program Holiday @ NALURI
dan Trial Programme di Tadika NALURI Kreatif.

Sempena berlangsungnya kempen kami, mereka didedahkan dengan aktiviti yang penuh dengan elemen mengujakan dan menyeronokkan. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa boleh melibatkan diri beraktiviti bersama anak di rumah.

Antara aktiviti yang terlibat adalah aktiviti storytelling, melukis, memasak dan pelbagai eksperimen sepanjang 2 minggu program dijalankan. Di sini kami melatih mereka untuk menjadi seorang yang berani mencuba sambil dipantau oleh guru-guru terlatih kami. 

Namun tulisan kali ini saya nak ketengahkan tentang aktiviti di dapur sahaja ya. Jika ada kesempatan di lain waktu akan saya panjangkan tulisan ini untuk beberapa aktiviti bersama anak yang lain, okay?

Tanpa membuang masa, ayuh kita mulakan resepi yang disediakan khas untuk anak murid Tadika NALURI Kreatif.

1. Jus Lobak Merah / Carrot Juice

6 Aktiviti Di Dapur Bersama Anak Kesayangan
Sumber: Pexels.com

Adakah anda tahu lobak merah kaya dengan khasiat vitamin A, potassium, kalsium dan alpha karotin yang mana bagus untuk kulit, kaya dengan serat, menambah kekerapan kencing dan juga memecahkan batu karang?

Haa baru tahu kan. Sangat sesuai untuk minuman seisi keluarga.
Bahan-bahannya pun sangat mudah didapati di supermarket dan kedai runcit.

Anda hanya perlukan 2 biji lobak merah, setengah cawan air masak, secawan ais, 2 sudu susu cair dan susu pekat mengikut citarasa kemanisan yang anda sukai. Jangan manis sangat ya, nanti hilang khasiatnya.

Untuk step pertama, anda perlu blend lobak merah sehingga hancur dan tapiskan. Asingkan sementara di jug dan masukkan semula air lobak yang sudah ditapis ke dalam blender tadi. Lepas tu campurkan kesemua bahan di atas dan blend sehingga menjadi warna oren muda cantik!

And your carrot juice is done… Hihi amacam? Mudah je kan. Bahan-bahan yang digunakan juga cukup selamat untuk dibuat bersama anak anda. Lepas ni dah tak perlu order di restoran lagi hihi…

2. Jus Mangga / Mango Juice

Aktiviti Di Dapur Bersama Anak Kesayangan
Sumber: Pexels.com

Saya pasti ramai di antara kita menjadikan jus mangga antara air favorite kan? Lagi-lagi sambil sedut jus mangga terdapat ketulan mangga memasuki anak tekak kita. Dengar jus mangga saja sudah membuatkan saya berimaginasi bersama fantasi di awangan sambil membayangkan “pekena” di tengah terik panas. Fuhhh syahdu…🤤

Okay cukup! Sebelum tu saya nak share sikit sedikit info kesihatan tentang buah mangga. Antara kandungan nutrisi yang terdapat di dalam 100g buah mangga adalah 14g karbohdirat, 2.1g protein, 19g kalsium, dan juga 20.5mg vitamin C! Wahhh dah lah sedap, penuh khasiat pula tu!

Di sini saya kongsikan cara-cara membuat jus mangga. Berbanding dengan jus lobak merah yang ‘agak’ banyak, untuk membuat jus mangga anda hanya perlukan 3 bahan sahaja, iaitu sebiji mangga, secawan ais dan 3 sudu susu pekat. Pertama sekali anda perlu memotong dadu buah mangga dan kisar bersama ais dan susu pekat mengikut citarasa anda. 

Apabila sudah sebati, anda boleh tuangkan ke dalam gelas dan tambah kiub mangga sebagai topping di atas. Dan selepas itu, your mango juice is done… Saya pasti di peringkat ini anda sudah mula terliur bukan? Hehe lepas ni bolehlah buat di rumah bersama anak. Anak-anak pasti suka!

3. Sirap Bandung Cincau

Aktiviti Di Dapur Bersama Anak Kesayangan
Sumber: Dear Nestle

Mungkin kedengaran agak biasa untuk anda tapi tidak bagi anak-anak. Kalau anda bosan dengan air sirap, anda mungkin twist menjadikan ia sirap bandung.

Tapi kalau nak tambah lagi variety, cuba tambahkan cincau supaya ada elemen unik ketika meminum. Dapat pula basahkan tekak dengan air sirap bandung sambil kunyah cincau di panas terik, memang umph!

Saya rasa saya semua orang tahu resepi ini, namun tulisan saya ini khas untuk para ibu bapa yang mencari idea untuk melibatkan anak-anak dalam membuat aktiviti di dapur. Tidak perlu resepi yang fancy dan rumit pun, because less is more right

Seperti yang anda semua tahu, resepi ini hanya memerlukan air sirap, susu pekat dan cincau. Mula-mula sediakan cincau dengan memotong dadu atau cincang cincau mengikut kesukaan anda, diteruskan dengan mencampurkan ke dalam campuran sirap dan susu pekat. Kacau sebati bersama ais dan siap!

Disebabkan resepinya yang sangat mudah, sirap bandung cincau ini sangat sesuai dihidang untuk majlis keraian dan keramaian. 🤗

4. Biskut Sarang Semut

Sumber: Asian Inspirations

Asyik buat air minuman je kan, jom kita beralih ke makanan pula. Pada program tempoh hari, Tadika NALURI Kreatif juga menyediakan pelbagai resepi untuk dilakukan bersama anak-anak. Antaranya adalah biskut sarang semut. 

Mesti pelik kan tiba-tiba diberi aktiviti membuat biskut sarang semut. Macam tiada resepi lain. Haa inilah cara NALURI Kreatif! Pada mulanya mereka didedahkan dengan aktiviti storytelling kisah para nabi. Biasalah, anak-anak akan cepat bosan apabila hanya duduk mendengar sahaja.

Jadi kami mengambil inisiatif dengan membuat aktiviti selingan seperti melukis dan memasak mengikut tema cerita. Suasana ini bukan sahaja menambah keseronokan dalam beraktiviti, malah sedikit sebanyak ilmu dari penceritaan tadi dapat diterjemahkan melalui aktiviti selingan yang diberikan.

Biskut sarang semut ini diilhamkan dari kisah Nabi Sulaiman AS yang memahami bahasa semut. Selepas sesi storytelling, mereka diajar untuk melukis semut dan selepas itu barulah beralih ke dapur. Respon yang diterima anak-anak sangat menggalakkan! Mereka seronok membuat kesemua aktiviti ini sambil belajar ilmu baru.

5. Spider Web Cupcake

Sumber: Fodmapeveryday.com

Agak-agak storytelling apa yang diterjemahkan oleh anak-anak NALURI Kreatif ni ya? Tapi yang penting bukan cerita Spider-Man tau, storytelling kita semua berkisarkan para nabi. Sebenarnya mereka didedahkan dengan kisah Nabi Muhammad bersembunyi di Gua Thur daripada dikejar oleh kaum kafir Quraisy yang ingin membunuhnya.

Secara ringkasnya, Allah memerintahkan seekor labah-labah untuk membuat sarang di mulut gua tersebut. Berikutan daripada peristiwa itu, kaum Quraisy tidak dapat melihat keberadaan Nabi Muhammad dan Abu Bakar di dalamnya.

Susulan itu, untuk membuatkan storytelling ini menjadi lebih menarik, guru-guru NALURI membuat aktiviti “spider-web craft” 🕷 Melalui aktiviti sampingan seperti ini akan menarik minat anak-anak untuk terus mendengar kisah-kisah nabi untuk dijadikan teladan pada masa hadapan.

Beralih ke aktiviti seterusnya ialah membuat cupcake! Bertemakan spider-web, guru-guru menyediakan bahan-bahan kek span vanilla dan memberikan arahan kepada mereka ini dari proses menguli sehingga ke proses membakar.

Selepas itu anak-anak diberi peluang membuat sendiri dekorasi mengikut tema yang diberikan. Kita dapat lihat mereka sangat fokus menghasilkan ‘karya teragung’ mereka di setiap cupcake yang diberikan. Bukan main seronok ya semua! 

6. Bergedil Daging

Sumber: Eintan Nurfuzie

Apabila anak-anak berada di dapur, segelintir ibu bapa sering lupakan kesedaran tentang keselamatan anak-anak. Namun topik kita hari ini bukan untuk bercakap tentang perkara yang boleh dan tidak boleh semasa di dapur, tetapi meraikan penglibatan aktiviti di dapur bersama anak.

Mereka perlu diberi peluang untuk membuat aktiviti di dapur asalkan ianya cukup selamat untuk anak-anak. Contoh seperti di NALURI Kreatif, mereka diberi peluang untuk membuat setiap langkah, daripada mengupas kulit kentang, memotong, menghancurkan, mencampur aduk bahan, sehinggalah menggoreng, semuanya dilakukan sendiri oleh si anak kecil ini.

Kesemua langkah yang berbeza ini akan membuatkan anak berasa seronok dan teruja, kerana mereka bukan sahaja dapat bau dan menyentuh, malah juga boleh makan hasil air tangan mereka sendiri! Tambahan pula ini merupakan pengalaman pertama bagi mereka. 

Jangan risau, kesemua aktiviti ini dilakukan bersama pemantauan oleh guru-guru ya. Idea kami ini bukan untuk mengetengahkan resepi semata, namun untuk memupuk dan suaikenal minat anak-anak terhadap aktiviti di dapur. Sangat sesuai jika ibu bapa turut terlibat beraktiviti bersama anak.

Kesimpulan

Tujuan program-program ini dilakukan tidak lain tidak bukan untuk mendidik anak menceburi minat mereka melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan mengujakan. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu perkembangan tumbesaran mereka dari segi kreativiti, komunikasi dan juga perasaan ingin tahu.

Aktiviti bersama anak yang dijalankan juga bukan sekadar bermain sahaja malah dapat membantu dari segi peningkatan daya ketahanan yang tinggi, terutamanya dari aspek mental dan emosi. Tambahan pula sebelum bermulanya aktiviti, anak-anak disajikan dengan storytelling kisah nabi. Dengan pendedahan seawal usia dini ini mungkin agak sukar untuk kita menarik perhatian mereka, namun dengan cara dan saluran yang betul membolehkan aktiviti bersama anak ini dapat dijalankan dengan lancar.

Semoga tulisan ini dapat membuka mata para ibu bapa di luar sana dalam menggalakkan anak-anak terlibat dalam aktiviti di dapur dan bersama-sama kita memupuk minat mereka sejak kecil.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.