Aktiviti Bersama Anak-Anak Sempena Hari Raya Aidilfitri ✨

Aktiviti Raya Bersama Anak

Pabila tiba hari raya, ibu bapa kebiasaannya akan menjadi amat sibuk menguruskan urusan keluarga, perjalanan pulang ke kampung, persiapan perayaan, menyiapkan juadah, berinteraksi sesama ahli keluarga dan melayani tetamu. Malah, mengemas rumah selepas selesai beraya. Apatah lagi sudah 2 tahun kita tidak beraya dengan keluarga besar masing-masing dek kerana pelaksanaan PKP oleh kerajaan.

Hari raya adalah waktu yang sesuai untuk kita sama-sama melatih kanak-kanak dalam suasana sebenar, experiential learning. Pembelajaran sebegini amat penting dan besar kesannya. Apabila anak dilatih dalam konteks yang sebenar, anak dapat menterjemah dan mengaitkan dunia luar dan diri mereka. Latihan yang bertahap akan manambah keyakinan diri kanak-kanak menjelang alam remaja dan seterusnya dewasa. Malah sekiranya anak-anak dilibatkan, mereka akan rasa dihargai.

Dengan komunikasi yang betul dan masa yang sesuai, penglibatan ini akan meningkatkan ikatan hubungan dalam keluarga. Di sini kami mencadangkan beberapa aktiviti yang sesuai untuk dilibatkan kanak-kanak sepanjang musim perayaan ini.

 

1. Kemas Beg Raya

Ceritakan kepada anak-anak perancangan jadual raya keluarga. Libatkan mereka untuk menyiapkan baju dan barangan peribadi masing-masing, seperti latihan mengira dan latihan mengkelaskan baju. Malah anak-anak dapat mencari sendiri baju yang sesuai untuk musim raya ini. Pastinya anak akan teruja nak pakai baju raya, apatah lagi bila sudah kemas baju sendiri. Di sini peranan ibu bapa hanya perlu semak sahaja adakah mencukupi dan menepati pakaian dan peralatan peribadi lain.

 

2. Buat Kuih Raya

Aktiviti membuat kuih raya amat sesuai untuk dilibatkan kanak-kanak.  Apatah lagi bila nak buat kuih raya kegemarannya. Inilah masanya kita memberi ruang kepada mereka. Buat sedikit persiapan khas, pastikan peralatan mencukupi dan resepi yang jelas. Proses membaca resepi, mencari peralatan, menyukat dan menimbang, mengadun bahan. Paling anak-anak suka ialah menggunakan mixer, dan proses mengadun. Ramai juga yang cuba merasa adunan. Mungkin masa yang sesuai ialah malam, kerana ujian puasa pula kalau di siang hari!

 

3. Meletakkan Kuih Dalam Balang

Aktiviti ini amat mudah dan anak sangat teruja melakukannya. Menyusun kuih dalam balang kuih raya sesuai dijadikan tradisi keluarga turun temurun, dan latihan untuk kanak-kanak. Mereka akan ralit menyusun, mengira dan menghias. Sambil berbual dengan sepupu dan mendengar pengumuman raya, anak-anak boleh isi balang kuih!

 

4. Kemas Rumah

Kita mahu rumah yang bersih dan ceria di Aidilfitri. Seindah hari raya, kita mahu rumah kita juga bersedia menerima tetamu. Libatkan anak-anak dalam proses membersih dan mengemas rumah. Sebaiknya mula sebelum Ramadan agar ia tidak terlalu membebankan. Pecahkan aktiviti membersih dan mengemas kepada tahap yang boleh dibuat oleh kanak-kanak. Contohnya seperti membasuh langsir, mengelap tingkap, membersih halaman dan menyapu daun. Aktiviti mengemas harian juga amat sesuai ditugaskan kepada mereka seperti menyusun kasut, mengemas katil dan mengutip sampah.

 

5. Pasang Pelita

Aktiviti memasang pelita merupakan aktiviti yang mengujakan. Namun jika melibatkan kanak-kanak haruslah diawasi bersama dengan orang dewasa. Memasang pelita menggunakan daya fokus yang tinggi. Hal ini kerana anak-anak akan belajar untuk mengisi pelita dengan minyak tanah, meletak dan menyusun pelita, serta membakar api pelita. Di sini sahaja anak-anak sudah diajar untuk mendekorasi halaman rumah. Lepas tu bolehlah bermain bunga api!

 

6. Takbir Malam Raya

Selain aktiviti sekitar rumah, hidupkan sunnah bertakbir di malam raya. Melibatkan anak-anak dalam takbir raya ini akan melatih anak-anak menghayati akhir Ramadan dan kedatangan Syawal serta keistimewaannya. Menghidupkan takbir raya mendidik anak-anak mengenal Allah dan ibadah padaNya. Kongsikan dengan anak-anak bahawa hari raya adalah hadiah untuk kita yang berjaya berpuasa serta melakukan ibadah-ibadah lain di bulan Ramadan. Dan apabila tiba hari raya Aidilfitri, kita juga perlu menjadi lebih baik, soleh dan solehah!

 

7. Susun Baju Raya

Anak-anak selalu teruja dengan baju raya kerana  tak sabar nak pakai baju baru! Ajak anak-anak untuk kemas baju raya, susun, dan menjaga baju raya. Dan apabila tiba pagi Syawal barulah digosok. Di sini kita mengajar anak-anak rasa bersyukur, menghargai dan menjaga peralatan sendiri. Ini adalah masa terbaik untuk kongsikan dengan anak konsep bersyukur. Ramai lagi kanak-kanak yang tidak berkemampuan, dan tidak berpeluang membeli baju raya cantik seperti kita. Memakai baju raya boleh menaikkan jati diri anak-anak. Nasihatkan juga, akhlak yang baik adalah pakaian yang tercantik untuk setiap manusia.

 

8. Kemas Meja

Hari raya dan makanan berpisah tiada. Sama-sama kita terapkan nilai bantu-membantu di kalangan ahli keluarga untuk mengemas meja makan selepas selesainya waktu makan. Tugasan mudah seperti mengangkat pinggan ke sinki, memasukkan kerusi ke tempatnya adalah antara tugasan mudah yang dapat kita latih seawal umur 6 tahun. Anak-anak yang dilatih dengan nilai terpuji, akan membawa ke dalam kehidupan mereka. Ia juga satu penghargaan kepada ibu bapa dan adik beradik yang lain yang telah bersusah payah menyediakan juadah makanan di hari raya nanti.

 

9. Membasuh Pinggan

Kanak-kanak yang telah sesuai umurnya, dan remaja sewajarnya dilatih bersama-sama membantu meringankan tugasan di hari raya. Contohnya dengan membasuh pinggan, atau membantu aktiviti memasak. Kita mungkin rasa ianya tidak penting, tetapi melibatkan kanak-kanak akan menyebabkan mereka rasa penting dalam keluarga. Jangan bimbang, kanak-kanak akan maklumkan apabila mereka telah penat dan mahu berehat! Kanak-kanak yang diraikan kebolehan mereka akan membesar dengan lebih yakin dan mempunyai jati diri yang tinggi.

Aktiviti Raya Bersama Anak




Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.