7 Idea Jadikan Aktiviti Di Dapur Bersama Anak Menarik

7 Idea Jadikan Aktiviti Di Dapur Bersama Anak Menarik

Anak anda suka tonton rancangan memasak? Mereka suka aktiviti memasak dengan anda? Pada yang mencari aktiviti memasak bersama anak, maka tulisan ini sangat sesuai untuk anda.

Saya kongsikan 7 perkara yang anda boleh perhalusi untuk aktiviti memasak ini, agar anak enjoy dan mendapat manfaatnya.

1. Bincang Dan Rancang

Berbincang dengan anak aktiviti apa yang ingin mereka lakukan. Bincang dengan santai mengikut tahap kefahaman anak. Lihat bahan apa yang diperlukan dan susun persiapan. Di peringkat ini, anda sebenarnya membantu anak membuat perancangan, dan di sinilah kita boleh mendengar idea anak tentang bagaimana untuk menjayakan projek mereka. Mungkin ada bahan yang tiada dan anak anda ada idea penyelesaian yang menarik yang tak pernah anda terfikir!

2. Sediakan Bahan Beserta Ukuran

Ajak anak sediakan semua bahan dahulu sebelum ‘beraksi’ di dapur. Step ini nampak mudahkan? Ha, bila sudah bersedia dengan bahan, ia akan sangat meringankan beban kekalutan di kemudian waktu. Ini boleh mengelakkan banyak perkara yang tidak diingini. Kekal tenang dan mulakan perbualan kreatif dengan anak. Komunikasi juga salah satu elemen penting. Bukan apa, risau salah langkah di sini, habis tak jadi nak memasak dah.

3. Wujudkan Suasana Menarik

Tidak semestinya aktiviti harus di dapur. Pertimbangkan jumlah orang yang terlibat dan manfaatkan ruang yang praktikal. Contohnya, anda juga boleh buat aktiviti di luar rumah. Sekiranya anda suka berkhemah atau berkelah di hutan ataupun di tepi sungai dan pantai, pastinya lagi menyeronokkan! Ajar anak anda berkemas dan susun setiap bahan yang diperlukan. Tanpa sedar, anda sedang melatih anak untuk lebih terurus dan membina rasa bertanggungjawab.

4. Bahan Separa Siap (Premix)

Eh, tak semestinya kalau nak buat aktiviti memasak dengan anak semuanya perlu bermula dari 0. Pertimbangkan apa yang sesuai untuk beraktiviti dengan anak, sesuai dengan level mereka. Gaya beraktiviti dengan anak 10 tahun, lainlah gayanya dengan anak 5 tahun. Jangan lupa pertimbangkan juga kesediaan anak dan diri sendiri. Yang pasti, mudah tak semestinya tak best. Yang advance juga tak semestinya memenatkan.

5. Berbual Dan Kongsi Cerita

Antara keseronokan memasak dengan kanak-kanak adalah perbualan. Sebenarnya sangat banyak perkara yang anak anda ingin kongsikan dengan kita. Aktiviti sebegini merangsang anak untuk mengeluarkan idea mereka. Cuba sekurang-kurangnya seminggu sekali beraktiviti memasak melibatkan anak-anak dan lihat bagaimana terujanya mereka. Secara tidak langsung, kita membantu mereka meluahkan idea dan menambah kosa kata.

6. Kemahiran Bernegosiasi

Beraktiviti dengan adik beradik, saudara mara atau rakan memang menyeronokkan. Tetapi ia perlukan perancangan lebih sedikit. Pastikan aktiviti ini memberi peluang kepada anak-anak yang terlibat pada kadar yang bersesuaian. Ada anak ingin cuba dahulu, ada yang ingin cara lain. Dalam situasi ini, peranan kita adalah untuk memastikan peluang, ruang dan keseronokan berjalan seiringan.

Aktiviti bersama begini mengeratkan silaturrahim dan amat membantu kemahiran sosial anak. Dengan membiasakan anak berbincang dan bertolak ansur dari kecil amat membantu kehidupan mereka yang serba mencabar kelak.
 

7. Menyeronokkan!

Eh, terlupa pula saya kongsikan sesuatu yang amat penting, bukan sahaja bagi kanak-kanak, malah orang dewasa juga pasti akan buat sesuatu seronok. Tipulah kalau saya cakap, anak okay sangat kalau semua aktiviti tu tak seronok, yang penting mereka dapat belajar. Oh tidak sama sekali. Mereka juga tahu erti bosan. Seronok apabila digabungkan dengan aktiviti bersesuaian, ia berpotensi untuk bertahan lama. Di sinilah ia membantu semangat ingin tahu anak.

Tulisan ini bukanlah teori tetapi perkongsian pengalaman daripada kami yang terlibat dalam industri pendidikan kanak-kanak, menggunakan pendekatan berkonsepkan Project-Based Learning di 16 lokasi kami.

Gambar yang dikongsikan dalam artikel ini adalah melibatkan aktiviti memasak sempena Holiday @ NALURI pada minggu pertama.

Holiday @ NALURI adalah program cuti sekolah untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 10 tahun melibatkan 14 lokasi. Klik di sini untuk info penuh.



Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.