Memasuki minggu ibadah korban yang kian tiba pastinya menggamit memori ketika kita kecil. Manakan tidak, membesar di kampung dengan suasana raya yang meriah membuatkan hubungan ikatan sesama jiran tetangga menjadi semakin akrab. Namun memasuki era moden majoriti kanak-kanak zaman kini membesar dengan gajet dan tablet. Selari dengan peredaran zaman, NALURI Kreatif menyediakan anda beberapa Tips Idea Beraktiviti Sempena Raya Haji

 

1. Simulasi Ibadah Haji

Tips Idea Beraktiviti Sempena Raya Haji

Bersempena tema “Di Sebalik Raya Aidiladha” pada tahun-tahun sebelum ini, anak-anak di NALURI Kreatif pernah menjayakan simulasi ibadah haji untuk membantu mereka mendapatkan gambaran di mana Safa dan Marwah, Arafah, Mina, Muzdalifah dan Jamratul Aqabah.

Aktiviti ini bukan sahaja dapat memupuk kefahaman anak-anak tentang proses pelaksanaan haji di Tanah Suci Mekah, malah aktiviti ini juga dapat merangsang minat anak dan seterusnya menanam niat untuk pergi ke Haji bersama keluarga tercinta.

 

2. Story Telling: Kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim

Tips Idea Beraktiviti Sempena Raya Haji

Melalui storytelling ini ibu bapa boleh menceritakan kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar. Penerangan tentang bagaimana terjadi peristiwa korban. Ibu bapa boleh menceritakan dengan pelbagai intonasi yang baik menggunakan prop ringkas seperti mainan berbentuk haiwan dan pokok bagi menarik minat mendengar anak.

Selain itu, dengan menggunakan bantuan buku juga membantu menarik minat anak. Ibu bapa juga perlu bijak menunjuk mimik muka dan intonasi yang menarik dalam proses bercerita kepada anak. Namun jika anda ingin menjadi lebih “ekstra”, anda boleh melakukan inisiatif dengan membuat buku kreatif yang ditulis hasil tangan sendiri.

 

3. Art & Craft Buku Skrap Saya: Haiwan Yang Boleh Di Sembelih

Tips Idea Beraktiviti Sempena Raya Haji

Buku skrap antara salah satu tarikan kepada anak. Ibu bapa boleh menggunakan kaedah ini sambil bercerita mengenai peristiwa yang berlaku kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Terutama haiwan apa yang boleh disembelih pada hari raya haji kerana haiwan tertentu sahaja yang boleh dikorbankan. Melalui kreativiti ini memberi kefahaman dan ingatan kepada anak tentang haiwan apa yang boleh disembelih.

 

4. Art & Craft: Topeng Sheep Saya!

Tips Idea Beraktiviti Sempena Raya Haji

Ibu bapa boleh membuat aktiviti seni dan kraf ini bersama anak. Sambil melakukan aktiviti tersebut, ibu bapa juga boleh menjelaskan bagaimana peristiwa Nabi Ismail ditukar kepada biri-biri. Tidak lupa juga untuk memperkenalkan haiwan-haiwan yang boleh dikorbankan kepada anak-anak. Malah, ibu bapa boleh menggunakan gambar untuk memberi gambaran yang jelas

 

5. Kaabah Painting (3D Model)

Tips Idea Beraktiviti Sempena Raya Haji

Anak-anak dan ibu bapa disaran menghasilkan Kaabah Painting (3D Model) bagi memberi gambaran yang jelas bentuk Kaabah yang sebenar. Melalui 3D model ini ibu bapa boleh menceritakan kegigihan dan pengorbanan Nabi Ibrahim mendirikan Kaabah. Ibu bapa juga boleh mengajar anak doa Nabi Ibrahim seperti yang berikut:

“Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku.”

Peluang ini juga ibu bapa boleh menceritakan tentang peristiwa tentera gajah dan pemindahan Hajarul Aswad serta banyak lagi pengajaran yang boleh diambil dari pelbagai peristiwa.

 

6. Mini Show Kisah Nabi

Tips Idea Beraktiviti Sempena Raya Haji

Wayang mini adalah antara salah satu kelainan untuk menarik minat anak-anak dalam memahami kisah-kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS dengan memainkan boneka atau patung yang dibuat hasil kreativiti sendiri. Ini adalah untuk anak-anak lebih memahami kisah tersebut dan terhibur dengan kisah-kisah para anbiya’. Sekali gus mengajar anak-anak secara tidak langsung untuk fokus mendengar sambil melihat.

 

Kesimpulan

Ini adalah contoh idea yang dibuat di setiap tadika NALURI Kreatif yang mengetengahkan pembelajaran berkonsepkan Project-Based Learning (PBL). Idea diatas telah dijayakan dalam program Children Activity Day pada tahun-tahun sebelum ini bertemakan “Idea Beraktiviti Sempena Raya Haji”. Tips beraktiviti ini sedikit sebanyak membantu ibu bapa membuat projek bersama anak di rumah.

Menurut teori Ekologi Bronfenbrenner (1977), ahli keluarga khususnya ibu bapa mempunyai peranan penting sebagai agen sosialis dalam kehidupan kanak-kanak dan mempunyai pengaruh paling besar ke atas semua aspek perkembangan yang berbeza. Interaksi pengaruh-pengaruh tersebut membantu dalam menentukan pencapaian perkembangan ke satu tahap yang maksimum (Imran Ariff Ariffin, 2010).

Oleh itu, ibu bapa juga sangat berperanan penting dalam proses perkembangan anak terutama dalam beraktiviti bersama-sama. Melalui kaedah PBL ini anak-anak akan lebih memahami apa yang ingin kita sampaikan kepada mereka terutama berkaitan dengan kisah-kisah Nabi.