Saya tergerak memberikan sedikit pandangan mengenai budaya buruk mengkritik fizikal kanak-kanak, atau “body shaming”. Saya amat bersetuju supaya kita semua sebagai ahli masyarakat menjadi orang yang cakna dalam berbahasa dan memberi respon mengenai isu ini. Namun dalam konteks kali ini, kita berfokus kepada kanak-kanak.
Anak kecil ini memerlukan perhatian yang tinggi daripada kedua ibu bapa mereka, kerana kalau bukan daripada ibu bapa, siapa lagi bukan? Namun ibu bapa sering alpa tentang keadaan anak di sekolah mahupun di tadika. Justeru, sama-sama kita kupas satu per satu dan bersama kita peroleh sesuatu.
1. Menjaga Bahasa Pertuturan Di Rumah
Bagi mengelakkan ia tidak menjadi pengalaman buruk bagi lebih ramai anak, salah satu jalan terbaik adalah dengan bermula daripada ibu bapa sendiri. Dengan menekankan terhadap penyampaian tutur kata dan bahasa yang baik, nescaya mampu memperbaiki hubungan komunikasi di dalam keluarga. Bercakap dengan anak mestilah dengan nada yang lembut dan cermat kerana anak-anak di awal usia mudah terasa dan tersentak. Jika ibu bapa membiasakan diri menggunakan bahasa kasar di rumah, kemungkinan anak pun hilang contoh yang baik, lebih-lebih lagi jika ibu bapa yang memberikan kata-kata tidak manis melibatkan fizikal anak-anak itu sendiri.
2. Elakkan Perbuatan Mengejek Orang Lain
Perbuatan keji seperti mengejek yang dibiasakan pada asalnya hanyalah sebagai gurauan. Bagi sesetengah pihak, ejek-mengejek dijadikan alasan untuk hiburan.
“Tidak apa, gurauan saja”
Kerana “tidak apa” bagi keluarga tersebut, menyebabkan anak-anak terbiasa melakukannya di sekolah atau semasa bermain bersama rakan. Jadi adakah anda ingin dilihat sebagai keluarga contoh atau keluarga yang menyambung budaya yang tidak sihat ini? Sama-sama kita perbaiki kelemahan yang ada.
3. Latih Anak Menjadi Tauladan Kepada Rakan
Apabila satu orang mengejek, ada pula yang menambah garam pada ejekan tersebut lebih-lebih lagi rakan sebaya. Itu adalah tabiat yang tidak baik. Tindakan yang sepatutnya adalah dengan diam dan mematikan ejekan itu setakat di situ saja. Sebagai manusia yang berperikemanusiaan, kita juga pasti terfikirkan nasib yang bakal menimpa jika kita ditempat mereka.
Jadi apa yang anak boleh perbaiki adalah, jika ada yang mengejek kawan dan anak yang mendengar, tindakan terbaik adalah dengan menasihati kawan tersebut secara tegas atau dengan memberitahu cikgu untuk diberikan tindakan disiplin. Anak boleh dilatih untuk memainkan peranan sebagai pembimbing rakan sebaya.
4. Menaikkan Semangat Dan Keyakinan Anak
Dalam konteks ini pula, jika anak yang menjadi mangsa bahan ejekan pastinya boleh meruntuhkan semangat dalam diri anak. Kesannya, semangat dan motivasi anak sangat rapuh dan seterusnya menjurus kepada hilang keyakinan. Anak juga akan mula mengasingkan diri dan mula berdiam diri. Justeru, sebagai ibu bapa yang prihatin hendaklah sentiasa berdamping dengan anak dan memberikan sepenuh perhatian kepada mereka. Ibu bapa juga boleh berbincang, meminta bantuan serta kerjasama daripada guru tentang apa yang anak alami di sekolah agar tindakan selanjutnya boleh dijalankan.
5. Jangan Lokek Memberi Pujian Kepada Anak
Setiap anak mempunyai kelebihan tersendiri. Bantu anak untuk melihat kehebatan dirinya yang banyak memberikan manfaat kepada ramai orang. Spesifikkan dalam memberi pujian agar anak sedar yang mereka benar-benar menguasai terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, “pandainya kakak masak nasi, sampai dah tahu sukatan yang betul!” sambil menunjukkan reaksi kagum dan bangga. Pujian sekecil ini sudah mampu menaikkan semangat mereka bahkan membantu mereka menjadi lebih baik. Itu contoh sahaja, selebihnya hanya anda sahaja yang tahu kelebihan anak anda masing-masing.
"Don't compare your child to others. There's no comparison between the Sun and the Moon. They shine when it's their time."
Unknown
Ibu bapa sangat berpengaruh dalam mengembalikan keyakinan diri anak. Wujudkan banyak masa dan ruang untuk anak ini meluah perasaannya sendiri tanpa orang lain. Bincangkan bagaimana yang boleh membantu anak ini dari masa ke masa dan raikan apa yang mereka nyatakan. Mungkin pada usia akan datang kelak, perasaannya sudah berbeza dengan umurnya nanti.
P/s: Saranan ini bukan hanya untuk kanak-kanak, tetapi orang dewasa juga.