Sebagai manusia yang penuh dengan jiwa dan perasaan kadangkala tidak lari dari emosi yang tidak menentu. Mungkin berpunca dari kerenah anak sendiri, mungkin dari tempat kerja, mungkin juga dari hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Namun dalam konteks ini kita berfokus layanan ibu bapa terhadap anak. Persoalannya, bagaimana keadaan kita dan anak-anak kita hari ini?
Walau setinggi manapun amarah kita terhadap anak atas sebab-sebab tertentu, lepaskanlah mereka dulu ke sekolah pagi ini dengan doa harapan dan kasih sayang seorang ibu bapa yang inginkan anaknya berjaya.
Lepaskanlah mereka dengan doa yang ikhlas. Padamkanlah dulu api kemarahan yang mungkin membara dalam diri kita demi masa depan anak kita. Orang yang kuat adalah orang yang mampu mengawal diri ketika marah.
Akan ada masanya untuk berbicara dengan baik dan bertamadun bersama anak kita. Masa dan keadaan yang sesuai sangat penting dalam memberi nasihat kepada anak sekiranya kita mahu anak kita dengar dengan baik dan faham kenapa kita menegur mereka.
Semuanya bermula dengan KITA.
Kita faham dan dengar keperluannya dengan sebenar-benarnya kefahaman. Anak-anak akan lebih tekun, senang belajar dan faham apa yang guru ajar sekiranya hati mereka berada dalam keadaan jiwa yang tenang. Ar-Rasul diturunkan untuk membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang.
Kajian dari HeartMath Institute juga telah membuktikan secara saintifiknya, jika kita dimarahi, perasaan kita terganggu dan akibatnya kita akan susah untuk fokus selama 6 jam lamanya. Itu jika dewasa yang yang dimarahi, bagaimana pula perasaan anak kecil yang dimarahi? Fikir-fikirkanlah.
Berapa lamakah anak kita disekolah? Dari pukul 7 pagi sehingga 2 petang misalnya, bukankah sudah mencapai 6 jam lamanya? Adakah kita hairan kenapa anak kita tidak dapat fokus ketika di dalam kelas dan mendapat markah yang rendah, namun dengan senangnya kita mengatakan anak kita malass?
Mungkin yang kita nampak adalah cuma “the tip of an iceberg” sahaja. Saya ingin mengajak semua ibu bapa yang membaca tulisan dan coretan dari hati ini untuk mulakan hari anda dengan sepenuh kasih sayang. Buat pilihan ini dan inshaAllah semakin lama semakin senang untuk dilaksanakan.
Hal ini kerana Allah telah berjanji, sekiranya kita bersungguh-sungguh berjuang dijalan-Nya, Allah akan menunjukkan jalannya. Apabila kita berjaya menguasai perasaan sabar dari amarah, dan disusuli dengan kata-kata indah yang enak didengari anak oleh kerana mengandungi kata ikhlas dan benar.
Berikutan daripada situasi ini, anak-anak tidak lagi mendengar kata-kata kesat yang dilepaskan oleh ibu bapa dan seterusnya membangkitkan perasaan percaya kepada ibu bapa.
Amanahkah kita dalam melunaskan tanggungjawab kita dengan anak-anak kita? Ramai orang yang sedar, namun tidak ramai yang mampu bertindak. Pilihlah untuk bertindak dengan segera untuk kita dan anak-anak kita kerana kehidupan kita adalah satu pilihan.
Selamat membimbing anak dengan paksi kasih sayang dan silaturrahim yang sebenar dari kegelapan kepada cahaya. Wallahualam.
[…] BACA: Bagaimana Keadaan Kita dan Anak-Anak Kita Hari Ini? […]
Comments are closed.