Tips Penyesuaian Diri Anak Di Sekolah Baru

Tips Penyesuaian Diri Anak Di Sekolah Baru

Sempena musim persekolahan yang bakal bermula, ibu bapa dan anak-anak akan memulakan langkah adaptasi kehidupan dengan jadual yang serba bersilih ganti.

Buat ibu bapa baru, banyak yang bermain dalam fikiran, apakah yang boleh dilakukan untuk membantu anak-anak menyesuaikan diri.

Tips Penyesuaian Diri Anak Di Sekolah Baru
Sumber: Freepik.com

Jangan risau! Kami team NALURI Kreatif sedia membantu. Mari baca kompilasi di bawah:

  1. Persiapkan Minda

Tanamkan di minda bahawa ianya satu proses perubahan yang memerlukan masa, kepercayaan dan kesabaran. Tanam keyakinan diri bahawa ibu ayah, sekolah/tadika dan anak-anak bersama-sama memainkan peranan menghadapi situasi ini. Bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan hati terbuka.

  1. Bersedia Dengan Perubahan

Berbicara dengan anak mengenai perubahan yang akan berlaku. Ini termasuklah jadual keluarga, persiapan barangan sekolah, waktu bangun pagi, dan pergerakan ke sekolah. Pastinya wujud ragam di pagi hari, lebih-lebih lagi mandi di waktu pagi. Namun terapkan kefahaman pada mereka bahawa kesemua ini boleh dirumuskan sebagai rutin pagi harian yang perlu diadaptasi oleh anak-anak.

  1. Kawal Emosi Anak

Dalam menghadapi persekitaran yang baru, pasti perasaan mereka terganggu. Di sini lah ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk kepribadian anak. Bagaimana caranya?

Tips Penyesuaian Diri Anak Di Sekolah Baru
Sumber: ChildrensColorado.com

Mudah saja, pastikan anda memberikan lebih tumpuan kepada mereka, wujudkan rasa ambil berat terhadap perkembangan anak, dan juga berikan anak ruang ketika mereka berbicara tentang aktiviti persekolahan. Justeru, anak-anak akan berasa lebih dihargai dan akan mudah memberi kerjasama.

  1. Tidur Secukupnya

Latih anak untuk tidur awal kerana tidur yang mencukupi mempengaruhi tenaga anak di keesokan hari. Tidur dan rehat yang berkualiti juga boleh membantu perkembangan anak dan seterusnya memperoleh prestasi cemerlang di sekolah. Wujudkan waktu tidur berjadual agar mereka lebih berdisiplin dan mendapat rehat yang secukupnya.

  1. Ambil Masa Suai Kenal

Sekiranya anak mula menunjukkan ragam, ambil masa dan duduk sebentar dengan anak. Sambil itu juga boleh perkenalkan guru baru mereka. Namun anda dinasihatkan untuk tidak mengambil masa terlalu lama agar anak tidak terbiasa dengan “kehadiran” ibu bapa sebagai peneman. Bermula berteman hingga ke pintu bilik darjah, cukup sekadar berteman sehingga ke pintu pagar di kemudian hari. Hari pertama persekolahan mungkin tampak lebih sukar namun yakinlah hari-hari berikutnya mereka akan faham dengan sendiri.

Suasana Baru Di Sekolah

Tips Penyesuaian Diri Anak Di Sekolah Baru
Sumber: Freepik.com

Sekiranya anak gelisah dan mula menangis, cuba santuni dan pujuk mereka. Jika tidak berjaya, terus dapatkan bantuan guru. Ibu bapa perlu tinggalkan segera premis tadika atau sekolah. Anak dan guru perlukan ruang untuk saling mempercayai.

Hal ini kerana anak anda akan memberontak dan menangis lebih kuat sekiranya ibu bapa masih di dalam radar sekolah. Di sinilah ibu bapa harus memainkan peranan dengan memberi kata-kata yang meredakan emosi mereka.

BACA: Bagaimana Beraktiviti Membantu Perkembangan Emosi Kanak-Kanak

Seperti contoh berjanji dengan anak untuk datang ambil mereka pada sekian waktu, dan pastikan anda datang pada masa yang dijanjikan. Anda pula mestilah menepati masa agar integriti dan disiplin yang ditunjukkan terhadap anak mampu membuatkan anak-anak lebih mempercayai anda dan seterusnya membuatkan anak berasa selamat walau ketiadaan ibu bapa di sisinya.

Tips Penyesuaian Diri Anak Di Sekolah Baru
Sumber: Unsplash.com

Jadikan ianya sebagai rutin dan nescaya anak-anak akan belajar mempercayai dan dapat menyesuaikan keadaan sekeliling dengan cepat. Mungkin agak sukar untuk permulaan, namun dengan langkah yang betul dan berperingkat anak-anak anda akan mula fahami dunia persekolahan.

Namun langkah ini tidak terhenti setakat di sini sahaja. Sebaik sahaja anda mengambil mereka dari sekolah, rajinkan diri untuk bertanya tentang apa yang dilalui mereka di sekolah. Kanak-kanak perlu dirangsang agar komunikasi tidak menjadi satu hala sahaja. Jika anak anda kurang bercakap, anda boleh klik di sini.

Dengan bertanyakan soalan, mereka lebih seronok untuk bercerita, sepertinya mereka diberikan perhatian oleh ibu bapa mereka. Maka di sini jugalah mereka akan mula bercerita tentang suasana dan aktiviti sekolah, termasuklah membuat kawan baharu.

Hal ini kerana sejak kecil anak-anak membesar di samping ibu bapa. Jadi apabila ditinggalkan di sekolah, pastinya wujud perasaan gelisah dengan ketidakbiasaan yang dilalui. Seperti suasana yang baru, tidak memiliki kawan, tidak mengenali cikgu, tidak tahu proses membeli makanan di kantin, dan bermacam-macam lagi.

Sekolah Tanggungjawab Bersama

Pihak guru harus memainkan peranan dengan memberi ruang kepada mereka dan pujuk melalui komunikasi yang berkesan, seperti memberikan pelukan atau memujuk mereka dengan makanan. Rakan-rakan sekeliling juga pasti akan turut serta mengajak anak anda untuk saling bermesra dan berkenalan.

Tips Penyesuaian Diri Anak Di Sekolah Baru
Sumber: Tadika Naluri Kreatif

Anak-anak yang dipaksa akan merasakan ruang peribadi mereka dirobohkan. Langkah terbaik adalah menghormati perasaan mereka. Biarkan mereka terlibat dengan aktiviti secara sukarela tanpa dipaksa. Justeru tugas guru adalah memastikan aktiviti yang dijalankan menyeronokkan dan membuatkan anak muridnya teruja untuk menurut serta.

Untuk ibu bapa pula, berikan ruang dan kepercayaan kepada tadika atau sekolah untuk mengelola anak-anak. Institusi yang diberi kepercayaan akan lebih yakin menjalankan tanggungjawab mereka. Sekiranya timbul sesuatu isu, pastikan anda mendapatkan orang yang tepat untuk sebarang perbincangan.

Bersifat matanglah dalam menguruskan anak-anak. Dapatkan maklumat lengkap dari tadika ataupun sekolah bagi membantu urusan dari segi komunikasi mahupun teknikal. Apa-apapun keputusan sila hormati dan patuhi ketetapan yang diberikan.

Kesimpulan

Untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang menuntut kita untuk sentiasa peka dan prihatin kewibawaan anak-anak. Antara langkah terbaik adalah dengan sentiasa upgrade jadual rutin keluarga. Ubahsuai mengikut kemampuan keluarga dan harmonikan institusi rumah tangga dengan komunikasi yang berkesan. Ia merupakan proses yang mendewasakan dan menyeronokkan.