9 Tips Bonding Dengan Anak

tips bonding dengan anak

Mendidik anak merupakan proses kehidupan yang mencabar untuk semua insan yang bergelar ibu bapa. Tipulah kalau anda tidak pernah berasa stres dan mood ‘kelaut’ dalam menguruskan anak. Dan dalam pada masa yang sama seringkali kita terngadah lalu menyesal kerana terlalu ikutkan emosi dalam memarahi anak.

 

Untuk menjadi ibu bapa yang prihatin, kita haruslah memahami bahawa anak yang meningkat umur sedang dalam proses tumbesaran yang aktif dan sering membuat kesilapan. Namun adakah anda sedar dalam setiap kesilapan yang dilakukan merupakan proses pembelajaran bagi mereka?

 

Justeru, daripada memarahi eloklah kita mendidik mereka dengan memberi teguran dan nasihat serta disulami dengan reaksi tegas agar situasi itu menjadi pengajaran kepada mereka. Lebih-lebih lagi jika kesalahan yang dilakukan adalah yang kesalahan pertama kali bagi mereka.

 

Jika dikumpulkan bersama, tanpa kita sedar momen inilah merupakan sebahagian daripada proses bonding bersama anak dan dalam keluarga. Namun ibu bapa terlupa untuk memanfaatkan masa-masa ini sebagai waktu terbaik yang boleh dicipta bersama.

 

Malah, dalam kita menghadapi kesibukan di siang hari pastinya kita sedikit terleka dalam meluangkan masa bersama anak. Cuba kita muhasabah diri berapa lamakah masa berkualiti kita bersama anak. Terasa sayang sekiranya dibiarkan walaupun masa yang ada cuma sedikit.

 

Jadi bagaimana ibu bapa boleh memanfaatkan masa yang pendek ini?

 

1. Fokus Kepada Anak

Memberikan tumpuan dan fokus penuh kepada anak tampak mudah dilakukan. Namun mudah sekali terganggu dengan teknologi seperti tv, tablet dan telefon bimbit. Lebih-lebih lagi apabila semuanya berada di hujung jari, mudah sahaja mata kita terfokus ke tempat lain. Ingat ya, mereka membesar dengan sangat cepat. Gunakan masa yang ada ke arah kecemerlangan mereka.

 

2. Refleksi Diri

Pesan kepada diri, “saya mahu guna masa ini dengan baik dan membina bonding dengan anak, sekejap lagi mereka ke sekolah, selepas itu meningkat dewasa, dah bekerja dan bekerjaya, tinggal saya seorang diri di rumah. Saya mesti guna waktu berharga ini untuk anak-anak dan hayati sebaik mungkin perjalanan bersama mereka”. Sesi refleksi ini tak lain tak bukan untuk muhasabahkan diri dalam melalui segala ranjau kehidupan bersama anak.

 

3. Komunikasi Lisan

Komunikasi lisan adalah salah satu pintu sinaran kasih sayang kepada semua ahli keluarga, tidak kiralah sama ada untuk pasangan mahupun anak-anak. Latihan skil komunikasi seperti komunikasi positif, menggunakan suara rendah, ayat mendorong, ayat meminta kerjasama, dan apa-apa yang berkaitan sangatlah diperlukan dalam membina hubungan komunikasi yang harmoni di dalam keluarga.

 

4. Bahasa Badan

Dalam kita memberikan kasih sayang, bukan sahaja kita menyediakan tempat tinggal dan memberi pakaian yang mencukupi. Malah harus selalu diikuti dengan sentuhan fizikal seperti memberi pelukan dan ciuman, memberi usapan dan belaian, serta memberikan sentuhan kasih dengan melihat anak matanya ketika bercakap. Nescaya bonding ibu bapa dan anak akan sentiasa mekar dan erat.

 

5. Membuat Jenaka

Ini antara point yang sangat penting dalam membina bonding yang kukuh bersama anak. Anak seawal umur 1 tahun juga sudah pandai bermain sembunyi-sembunyi, apatah lagi anak yang sudah memasuki umur tadika (3-6 tahun). Anak yang bahagia akan sentiasa dipenuhi keriangan dan gelak tawa yang datangnya dari ibu bapa sendiri. Justeru, ciptalah apa sahaja jenaka yang mampu menggamit memori dan kenangan bersama anak.

 

6. Nasihat Dan Pujian

Nasihat dan pujian adalah dua perkara yang berbeza dan memerlukan ilmu khusus dalam memberikan komunikasi yang terbaik. Amalkan memberi nasihat tentang kehidupan, agama, nilai murni dan kesihatan. Nasihat bukan sahaja berbentuk amaran terhadap kesalahan yang dilakukan, tetapi untuk memupuk potensi kebaikan. Memberi pujian juga mampu menambah motivasi dan membina keyakinan anak-anak. Justeru jangan kedekut pujian ok!

 

7. Bersedia Secara Fizikal

Penyediaan fizikal yang sempurna membolehkan kita bersiap sedia dengan apa jua dugaan mendatang. Apabila ibu bapa mampu menyiapkan persediaan diri secara fizikal, ibu bapa akan lebih teratur dan bersedia dengan setiap perancangan yang sudah dilakukan. Apabila fizikal diri dalam keadaan baik, gerak kerja akan lebih terarah dan seterusnya menjurus kepada produktiviti kerja.

 

8. Dorong Jati Diri Rutin

Jangan lupa memberikan dorongan terhadap anak melakukan tugasan harian. Pada mulanya memang agak kekok bagi mereka melaksanakan kerja-kerja rumah seperti menyidai dan melipat baju, membuang sampah, mencuci tandas, mengemas bilik dan bermacam-macam lagi. Namun dengan memberikan arahan ringkas mampu mendorong mereka membina jati diri yang mapan dalam diri anak melakukan tugas dengan baik tanpa rasa dipaksa atau disuruh.

 

9. Wujudkan Peraturan

Peraturan umum keluarga adalah satu keperluan bagi melatih anak-anak terhadap nilai dan pengurusan keluarga yang produktif. Contoh peraturan yang boleh dipraktikkan adalah makan bersama di meja makan, mengutip dan membuang sampah jika terlihat, menyusun kasut, membasuh pinggan sendiri, solat berjemaah dan bermacam-macam lagi. Peraturan di rumah adalah perlu bagi membentuk disiplin anak-anak.

 

Akhir Kata

Begitulah halnya dengan masa pendek yang hanya kita ada setiap hari. Kadang-kadang mesti terlintas di fikiran, hujung minggu adalah masa bersama keluarga sehingga kita lupa setiap detik yang berlalu setiap hari juga perlu diraikan.

 

Masa bersama keluarga wajar dimanfaatkan dan penting untuk mengukuhkan bonding bersama anak. Jangan biarkan saat berharga anda bersama anak hilang begitu sahaja, bukan dengan wang ringgit tetapi dengan mewarnai perhubungan sedia ada. Saya pasti setiap pasangan suami isteri mahukan pasangan yang memahami dan mampu berkomunikasi dengan baik terutamanya bersama anak. Gunakan masa ini sebaik mungkin tatkala mereka membesar membawa legasi keluarga anda.

 

Anak-anak membesar dengan begitu cepat. Tiba masa mereka membesar dan terus berdikari menempuh dunia yang penuh liku dan cabaran. Justeru, memori bagaimana yang akan dibawanya?

P/S: Ikuti kami di media sosial Facebook dan Instagram untuk lebih tips keibubapaan!